Paling Popular
Terkini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan mereka memantau pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Hassan berkata pemantauan itu dibuat bagi memastikan segala tindakan dan pergerakannya diketahui jika ada yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Ditanya mengenai kedudukan Zakir, Fuzi berkata secara umum PDRM mengetahui lokasi tokoh terbabit.

Katanya, tindakan akan diambil jika dilihat boleh menimbulkan masalah keselamatan.

"Sebab dia ni personaliti yang menarik perhatian keselamatan dan membabitkan isu sensitif, jadi kita akan buat tindakan sewajarnya," katanya kepada media di Cheras hari ini.

Pada masa sama Fuzi berkata Malaysia ialah sebuah negara bebas dan seseorang boleh pergi ke mana-mana saja tanpa berhak diganggu, kecuali ia boleh memberi kesan kepada ketenteraman atau keselamatan negara.

Zakir, 52, seorang pendakwah yang mendapat pendidikan rasmi dalam bidang perubatan dan pembedahan di India.

Kertas siasatan Zamihan

Menggunakan kemahiran berhujah, dia sering mengadakan sesi ceramah dan dialog di seluruh dunia. Semasa sesi itu biasanya akan ada beberapa orang memeluk Islam.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa negaranya sendiri atas tuduhan berkaitan keganasa, hasutan dan ucapan kebencian.

Pada hujung Okt lalu Agensi Keselamatan India (NIA) mengemukakan dakwaan jenayah ke atas Zakir di mahkamah.

Antara lain Zakir dituduh menghasut pemuda di negara itu terbabit dalam kegiatan pengganas, menghina kepercayaan Hindu, Kristian dan Syiah, serta mengetuai pertubuhan haram.

Pada 18 April lalu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan Zakir memiliki taraf pemastautin tetap (PR) di Malaysia.

Kata Ahmad Zahid status berkenaan diberi kepada Zakir kira-kira lima tahun lalu.

Beliau juga menjelaskan kerajaan mungkin menghantar pulang Zakir ke India jika menerima permohonan rasmi dari New Delhi.

"Setakat hari ini tak ada permohonan seperti itu," katanya di Dewan Rakyat.

Fuzi juga mengesahkan PDRM belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan India untuk mengekstradiri Zakir.

"Macam mana nak ekstradiri kalau tak ada permohonan dibuat?" katanya.

Sementara itu diminta mengulas mengenai status Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, Fuzi berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"PDRM sedang menunggu arahan lanjut (daripada Pejabat Peguam Negara," katanya.

Zamihan ditahan polis pada bulan lalu ekoran kenyataan perkauman dibuatnya di sebuah masjid di Shah Alam.

Dia disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Lihat Komen
ADS