Idris Jala dari Shell dilantik pengarah urusan baru MAS
Malaysia Airlines (MAS) melantik Idris Jala, 47, sebagai pengarah urusan barunya berkuatkuasa mulai 1 Disember 2005.
Malaysia Airlines (MAS) melantik Idris Jala, 47, sebagai pengarah urusan barunya berkuatkuasa mulai 1 Disember 2005.
Idris kini adalah Naib Presiden Shell Malaysia Gas and Power dan Pengarah Urusan Shell Middle Distillates Synthesis (SMDS) Malaysia Sdn Bhd, sebuah loji multinasional di Sarawak, kata MAS dalam satu kenyataan hari ini.
Idris, keturunan suku kaum Kelabit dari Tanah Tinggi Bario di Sarawak, menerajui kejayaan pemulihan perniagaan SMDS sejak menyandang jawatannya itu pada 2003. Beliau berkhidmat dengan Shell sejak Jun 1982.
Idris menyelia perniagaan Shell Malaysia dalam sektor gas asli cecair (LNG) dan dari gas ke cecair, dan mempunyai pengalaman yang luas dalam membantu operasi Shell dalam industri hiliran.
Beliau menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Dahlan yang bersara pada 22 Ogos 2005.
"Oleh kerana saya bukan dari industri penerbangan, saya perlu belajar dengan cepat. Saya akan mencuba sedaya upaya untuk bekerjasama dengan setiap orang dalam Malaysia Airlines. Saya percaya rahsia kepada pemulihan perniagaan terletak pada keupayaan mencungkil bakat setiap orang dalam MAS," kata Idris.
"Memandangkan pengalaman Idris yang pelbagai dan rekod pencapaiannya dalam Shell, lembaga pengarah MAS yakin Idris memang sangat layak untuk membantu MAS menangani cabaran dan peluang perniagaannya," jata Pengerusi MAS, Datuk Dr Munir Majid.
Menurut laporan Bernama, seorang rakan sekerja kanan di Shell menyifatkan Idris sebagai pilihan yang sangat baik bagi tugas di MAS itu.
Berpandangan jauh
"Beliau pintar, kreatif dan seorang yang sentiasa berfikir di luar jangkaan," kata rakannya itu yang enggan namanya disiarkan.
Beliau juga berpandangan jauh, katanya.
Idris telah memegang pelbagai jawatan di Malaysia dan seberang laut dalam bidang-bidang sumber manusia, runcit, gas petroleum cecair (LPG), perundingan pembangunan perniagaan dan penyusunan semula perniagaan, kata MAS.
Syarikat penerbangan itu berkata Idris juga pernah memegang jawatan sebagai naib presiden perundingan pembangunan perniagaan, Shell International, yang berpangkalan di London.
"Tugasnya ialah menerajui satu pasukan perunding syarikat berkaliber dan bertaraf global untuk membantu perniagaan hiliran dalam Shell seluruh dunia dan mencapai keputusan perniagaan yang besar melalui pemasaran strategik dan inisiatif penambahbaikan perniagaan," katanya.
Menurut MAS, Idris menamatkan program ijazah sarjana muda dalam pengajian pembangunan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 1982.
Selepas tamat pengajiannya, beliau menerima Anugerah Bishen Kaur sebagai pelajar terbaik dalam pengajian pembangunan.
Beliau kemudian mendapat biasiswa Shell yang membolehkan beliau meraih ijazah sarjana dalam bidang perhubungan industri di University of Warwick, England, kata MAS.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.