Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Wajar siasat Ambiga, dakwaan libatkan banyak wang

Pihak polis mewajarkan siasatan dibuka terhadap peguam terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan berkenaan saman yang difailkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown kerana laporan polis telah dibuat dan melibatkan dakwaan sejumlah wang yang banyak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun memberi maklum balas kepada kenyataan Badan Peguam yang membidas 'tindakan gangguan dan intimidasi' terhadap Ambiga.

"Kita tidak mahu komen tentang apa Badan Peguam cakap.

"Yang pentingnya terdapat laporan polis dibuat, saya fikir ada dua laporan.

"Jadi kita kena buka siasatan," kata Fuzi dalam sidang akhbar di pusat latihan Unit Tindakan Khas (UTK) di Cheras hari ini.

Menjadi amalan biasa, kata Fuzi untuk kertas siasatan kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi tindakan lanjut.

"Tetapi ada orang telah buat laporan, kita perlu lihat perkara ini dan menjalankan siasatan yang mencukupi terhadap dakwaan itu.

"Kita siasat akan dipersalahkan, tak siasat pun akan dipersalahkan. Jadi yang mana satu?

"Dan dakwaan itu sangat serius, mendakwa orang memberikan bukan sejumlah wang yang kecil, tetapi RM 90 juta," tambah beliau.

Bagaimanapun, Fuzi mengesahkan pihak polis belum lagi memanggil Ambiga untuk diambil keterangan.

"Belum lagi buat masa ini.

"Jika pihak polis telah mengambil kenyataan beliau, pastilah saya akan diberi taklimat dan maklumat terkini dari semasa ke semasa" kata beliau.

Polis sedang menyiasat Ambiga (gambar, atas) berikutan sebuah laporan polis dibuat pengerusi NGO Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Zulkarnain Mahdar.

Ambiga dilaporkan sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan khianat awam.

Seksyen 505 (b) memperuntukkan kesalahan kerana membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman.

Ia berhubung tindakan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam kenyataan pembelaan yang menamakan Ambiga sebagai sumber dalam artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 

Lihat Komen
ADS