Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika ahli Umno beli, kewangan NST dan Utusan sihat'
Diterbitkan:  Nov 12, 2017 8:30 AM
Dikemaskini: Nov 13, 2017 5:07 AM

Bekas Editor Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor menempelak Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang membidas tindakan kerajaan negeri Selangor menghentikan langganan akhbar-akhbar Kumpulan Utusan dan New Straits Time Press (NSTP).

"Tan Sri Annuar Musa marah pada MB Selangor kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan itu berhenti melanggan akhbar-akhbar daripada Kumpulan Utusan dan NSTP.

"Dah adat lah tu. Selangor itu di bawah kerajaan parti pembangkang.

"Utusan dan NSTP itu Umno yang empunya. Buat apa kerajaan Selangor nak langgan akhbar yang polisi sidang pengarangnya semata-mata untuk seteru politik mereka?" Tanya Mustapha dalam posting terbaru beliau di Facebook.

Mengimbau pengalaman beliau sewaktu bekerja di NSTP dulu, ketua-ketua Umno dilihat susah untuk membeli akhbar-akhbar terbitan kumpulan itu.

"Cuba fikir sejenak, macam manakah akhbar NST itu jualan hariannya sekitar 50 ribu naskhah sahaja sehari dan Berita Harian sekitar 100 ribu (mungkin kurang) sedangkan Umno ada tiga juta ahli.

"Jika satu persepuluh sahaja pun dari jumlah ahli Umno beli kedua akhbar ini, keduanya akan sihat kewangan," kata beliau.

Sihat kewangan

Mustapha mempersoalkan sokongan ahli Umno terhadap akhbar-akhbar terbitan kumpulan Utusan dan NSTP.

"Jadi eloklah tanya ahli Umno dahulu kenapa mereka tidak menyokong akhbar mereka sendiri," tambah Mustapha yang berkecimpung selama lebih 27 tahun sebagai wartawan sebelum melepaskan jawatan beliau kerana tidak sehaluan dengan gaya kewartawanan arus perdana ketika ini.

Ketua Penerangan Umno sebelum ini mendakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali (gambar, bawah) tunduk kepada pengaruh DAP dengan mengarahkan agensi kerajaan negeri itu supaya menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Semalam, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dipetik agensi berita Bernama sebagai berkata tindakan itu, menerusi arahan yang dikeluarkan pada Khamis lalu, menunjukkan bahawa kerajaan negeri Selangor hanya memperjuangkan perkara yang berkepentingan kepada mereka sahaja.

"Pembangkang hanya ingin menjadi juara hak asasi yang menguntungkan mereka. Keputusan menghentikan langganan akhbar ini seperti tidak memberikan kebebasan kepada media melaporkan perkara yang boleh membawa keuntungan kepada rakyat," katanya.

Dalam laporan tahunan Kumpulan Utusan, syarikat itu rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20 juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16 juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun lalu dengan RM66.7 juta.

Berdasarkan perangkaan terbaru Audit Bureau of Circulations Malaysia berlaku penurunan jualan oleh semua akhbar harian arus perdana.

Dari 2012 hingga 2016, Harian Metro mengalami penurunan jualan sebanyak 62.5% iaitu daripada 379,169 naskhah kepada 142,262 diikuti akhbar New Straits Time, yang mencatat kejatuhan sebanyak 41.6% daripada 93,321 naskhah kepada 54,490.

Utusan Malaysia dan Berita Harian masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 30 peratus dalam tempoh yang sama.

Lihat Komen
ADS