Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan belajar mengendalikan rifel M16 hanya selama sehari, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan PLKN Kamaruddin Mohamed Baria.

"Setiap kem akan dibahagikan kepada kumpulan mungkin 100 pelatih setiap satu dan mereka akan meluangkan kira-kira separuh hari untuk belajar mengenai teori pengendalian senjata.

"Apabila mereka bersedia, kami akan membawa mereka ke lapang sasar pangkalan tentera yang berhampiran dan melatih mereka menembak - tetapi hanya di bawah pengawasan rapi seorang pegawai tentera - dan sesi itu akan mengambil separuh hari lagi," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh percubaan yang diadakan sekarang, seorang pegawai tentera terlatih ditugaskan untuk setiap pelatih semasa berada di lapang sasar.

Beliau memberi jaminan perkara yang sama akan dilakukan sekiranya latihan menggunakan senjata api dilaksanakan sebagai sebahagian daripada modul latihan PLKN.

Kamaruddin berkata laporan mengenai aspek keselamatan dan logistik yang berkaitan akan dibuat selepas tempoh percubaan itu berakhir bagi memastikan adanya tenaga kerja yang mencukupi manakala semua langkah keselamatan yang diperlukan telah diambil.

Semasa ditanya sama ada melatih remaja menggunakan senjata api merupakan suatu langkah yang bijak, beliau berkata pelajar yang menyertai unit kadet di sekolah sudahpun terdedah kepada aktiviti seperti itu.

Projek perintis

Beliau berkata program perintis itu, yang merupakan projek usahasama antara Jabatan PLKN dan Angkatan Tentera Malaysia, akan memberi peluang kepada pelatih lain yang tidak pernah melalui pengalaman sedemikian.

"Bagaimanapun, mereka mempunyai sepenuh pilihan untuk terbabit dalam program berkenaan. Kami tidak memaksa mereka untuk menyertainya," kata beliau lagi.

Kamaruddin berkata tumpuan kepada elemen ala tentera dalam PLKN tidak akan memesongkannya daripada matlamat asal membina negara dengan menyemai semangat patriotisme dan keharmonian kaum di kalangan pelatih.

Beliau berkata ini disebabkan modul asal yang menyokong objektif PLKN tidak dikeluarkan.

Di samping mengukuhkan disiplin, latihan dengan menggunakan senjata api akan turut menyemai semangat kesukarelawan di kalangan pelatih PLKN, kata Kamaruddin.

"Pengalaman yang mereka lalui semasa berlatih dengan menggunakan senjata api akan menggalakkan mereka menyertai badan sukarela seperti Rela dan polis bantuan," katanya.