Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang awal bulan ini petanda daripada Tuhan untuk BN merampas kembali negeri itu.

“Tidak mustahil. Perkara ini boleh berlaku.

"Tuhan telah menurunkan bala kepada mereka yang menabik dada kononnya Pulau Pinang bebas dari banjir,” kata Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan, di Kuala Lumpur hari ini.

“Tetapi apa yang berlaku adalah sesuatu yang Tuhan tunjukkan, bahawa inilah waktu terbaik untuk kita ambil balik kerajaan Pulau Pinang,” katanya lagi

Ketika banjir tersebut melanda, Zahid yang juga menteri dalam negeri dan pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai bencana negara dilihat antara pemimpin BN terawal yang ke negeri itu.

Ia sehari selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Meng dilaporkan menelefonnya bagi mendapatkan bantuan ketenteraan bagi kerja-kerja menyelamat.

Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 4 November lalu yang mengorbankan tujuh nyawa dan menjejaskan 5,000 orang di 80 peratus kawasannya.

Sementara itu, Zahid turut mengingatkan agar mana-mana pihak tidak mempolitikkan bantuan yang diberikan akibat banjir di Pulau Pinang, dan berkata tindakan tersebut akan dihukum pengundi.

"Adakah kita politikkan isu itu? Tidak sama sekali. Adakah kita mahu menggunakan segala yang berlaku dan ambil kesempatan untuk membantu mangsa banjir kerana politik? Bukan semua perkara boleh dipolitikkan.

"Tetapi jika ada pihak yang mempolitikkan semua perkara, tunggulah. Rakyat akan hukum," katanya.

Gerakan akan bangkit semula

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menggesa kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP agar bertindak sebagai 'sebuah kerajaan', bukannya menyalahkan pentadbiran lalu atas semua masalah.

Mah berkata, DAP sudah pun mentadbir negeri itu selama hampir sepuluh tahun, dan ternyata gagal melakukannya dengan bertanggungjawab.

"Anda kerajaan, bukannya pembangkang. Bertindak seperti kerajaan, ambil tanggungjawab. Bukan salahkan rakyat," katanya.

Antara 2004 hingga 2008, katanya lagi, kerajaan pimpinan Gerakan yang diketuai Tan Sri Koh Tsu Koon ketika itu hanya meluluskan empat projek pembangunan di Tanjung Bungah, kawasan terjadinya tanah runtuh bulan lalu.

Tetapi DAP telah meluluskan 39 projek di kawasan itu, katanya lagi.

Beliau juga berikrar Gerakan akan bangkit semula di negeri itu dan akan bertindak sebagai 'semak dan imbang' kepada kerajaan negeri.

"Tiada sesiapa yang lebih memahami Pulau Pinang berbanding Gerakan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS