Bagi mengelakkan gejala tahanan reman dipaksa membuat pengakuan semasa siasatan polis, Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang memberi kuasa kepada polis untuk menerima pernyataan dan keterangan akan dimansuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Menurutnya, cadangan pemansuhan seksyen itu akan dibawa ke persidangan Parlimen Mac depan dan jika diluluskan, polis tidak lagi akan dibenarkan menggunakan pengakuan bertulis untuk mendakwa tertuduh sebaliknya perlu `turun padang' menjalankan siasatan.

"Kita menerima banyak aduan kononnya tahanan reman dipukul atau didera supaya mengaku salah dalam lokap sebelum diambil keterangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Kangar semalam.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan Seksyen 113 KPJ dimansuhkan kerana menerima banyak aduan mengenai tahanan reman yang dipukul dan didera fizikal serta mental semasa siasatan polis.

Menurut laporan Bernama, suruhanjaya itu sebaliknya mencadangkan supaya kenyataan atau pengakuan direkodkan oleh seorang Majistret menurut Seksyen 115 KPJ.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar, yakin pemansuhan Seksyen 113 KPJ akan meningkatkan imej polis yang selama ini dituduh menggunakan kekerasan dalam mengambil pengakuan tertuduh.

Menurutnya, Peguam Negara kini telah mengarahkan polis supaya tidak lagi menggunakan seksyen itu sebaliknya diminta menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum merekodkan pengakuan tertuduh.

Beliau mengakui tugas polis kini bertambah jika seksyen itu tidak digunakan kerana mereka kena turun padang untuk melakukan siasatan.

Secara peribadi, Radzi juga bersetuju dengan cadangan supaya kenyataan atau pengakuan direkod majistret menurut Seksyen 115 KPJ.