Thailand lantik pegawai Islam jadi panglima angkatan tentera
Kerajaan Thailand mengumumkan pelantikan penolong pemerintah tentera Jen Sonthi Boonyaratkalin sebagai Panglima Tentera Diraja Thai, rakyat Islam pertama negara ini yang memegang jawatan itu.
Kerajaan Thailand mengumumkan pelantikan penolong pemerintah tentera Jen Sonthi Boonyaratkalin sebagai Panglima Tentera Diraja Thai, rakyat Islam pertama negara ini yang memegang jawatan itu.
Dalam satu kenyataan semalam, kerajaan Thailand menyatakan, pelantikan Sonthi dan rombakan yang melibatkan beberapa pegawai tentera negara ini telah mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej.
Sonthi yang menggantikan Jen Pravit Wongsuwan, akan memulakan tugasnya pada 1 Oktober ini.
Pelantikan bekas ketua pemerintah peperangan khas itu dianggap oleh banyak pihak sebagai tepat pada masanya, berdasarkan pengalaman beliau di medan perang serta sifat yang ada pada dirinya yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kekacauan yang melanda tiga wilayah Islam di selatan Thailand.
Lebih 80 peratus penduduk wilayah berkenaan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat beragama Islam.
Sejak Januari tahun lalu, lebih 800 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di wilayah itu apabila para pejuang Islam melancarkan tuntutan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Pelantikan Sonthi diumumkan ketika tercetusnya perbalahan diplomatik antara Thailand dan Malaysia selepas 131 penduduk Narathiwat melarikan diri ke Kelantan minggu lalu.
Kuasa darurat
Tindakan kerajaan Thailand memberi kuasa darurat kepada agensi keselamatan untuk menangani masalah di wilayah selatan negara yang mempunyai 90 peratus penganut Buddha ini dikecam oleh pelbagai pihak.
Kerajaan Thailand juga mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Penasihat Pemerintah Tertinggi Jen Ruengroj Mahasaranon sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand.
Jawatan Ketua Turus Bersama pula disandang oleh Jen Lertrat Ratanavanich manakala Lt Jen Sopon Silpipat dilantik Ketua Turus Angkatan Tentera Thailand.
Turut dinaikkan pangkat ialah Chalit Pukbhasuk yang kini menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Thailand manakala Satirapun Keyanon dilantik Panglima Tentera Laut.
Menurut laporan Bernama, stesen radio tempatan melaporkan bahawa Thailand mungkin menutup sempadannya dengan Malaysia jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Menteri Dalam Negeri Kongsak Wanthana memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa sedang meneliti keadaaan di sempadan kedua-dua negara selepas 131 penduduk negara ini melarikan diri ke Malaysia bagi mencari perlindungan.
Akhbar tempatan menyiarkan laporan Bernama bahawa ramai penduduk Islam kini berada di Betong dan menunggu masa untuk menyeberang ke Pengkalan Hulu di Perak untuk melarikan diri dari wilayah mereka yang dilanda keganasan.

