Sekurang-kurang tiga orang diplomat asing keluar meninggalkan persidangan tahunan Suhakam hari ini apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap mengkritik Amerika Syarikat yang didakwanya bersikap 'dwi-standard' dalam hal asasi manusia.

Difahamkan, seorang daripada mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi British, Bruce Elliot Cleghorn dan seorang lagi adalah pegawai daripada Kedutaan Amerika.

Kritikan Dr Mahathir itu tidak disenangi mereka apabila beliau menuduh Amerika bersikap hipokrit mengenai hak asasi manusia berhubung perang Iraq, perang menentang keganasan dan seksaan ke atas para tahanan.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir - yang sering keras mengkritik sikap berat sebelah negara Barat mengenai isu-isu antarabangsa -- mendedahkan dasar Amerika dan Britain sebelum dan selepas pencerobohan di Iraq, yang didakwanya mengakibatkan beratus ribu kematian orang awam Iraq yang tidak berdosa, termasuk 500,000 bayi sebelum pencerobohan itu.

"Akibat pencerobohan itu, lebih banyak orang terbunuh dan cedera, daripada yang dituduh disebabkan oleh Saddam (Hussein). Lebih teruk lagi, kuasa-kuasa yang sepatutnya menyelamatkan penduduk Iraq sendiri yang melanggar undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia," katanya.

"Semasa semua ini berlaku, di manakah mereka yang sangat mengambil berat mengenai soal hak asasi manusia itu? Adakah mereka mendedahkan tentang penganiayaan oleh Britain dan Amerika? Adakah mereka memprotes kerajaan mereka sendiri.

"Tidak, ini kerana mereka yang terbunuh adalah musuh. Ia boleh diterima. Tetapi rakyat mereka sendiri tidak boleh dibunuh. Membunuh mereka samalah juga dengan tindakan melakukan keganasan," kata Dr Mahathir.

Ketika ditanya mengenainya dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Mahathir berkata: "Mereka berhak untuk keluar".

"Mereka ada hak untuk mengkritik saya sepertimana saya juga ada hak untuk mengkritik mereka," tambahnya.

Kenyataan Cleghorn

Cleghorn kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang dihantar melalui emel kepada malaysiakini.

"Saya dijemput oleh Suhakam untuk menghadiri majlis perasmian Persidangan Hari Hak Asasi Manusia," katanya.

"Saya menerimanya sebagai tanda hormat kepada Suhakam dan Tun Mahathir selaku bekas Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, malangnya, kata Cleghorn, dengan kehadiran itu, beliau terpaksa mendengar cacian dan kenyataan yang tidak benar terhadap negaranya.

"Kerana itulah saya meninggalkan (persidangan itu)," katanya.

Keputusan Suhakam untuk menjemput bekas Timbalan Perdana Menteri itu, untuk berucap di persidangan tersebut telah menimbul kontroversi sejak awal lagi.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah memulaukan persidangan tersebut selepas Suhakam enggan menggugurkan nama Dr Mahathir daripada berucap di majlis tersebut.

Mereka menuduh Dr Mahathir melakukan banyak pelanggaran hak asasi manusia selama 22 tahun beliau menjadi memimpin Malaysia.