Pemimpin masyarakat Islam Pattani meminta sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi membincangkan perkara berbangkit dengan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bagi mengelak keganasan berterusan di tiga wilayah Selatan negara itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani Abdul Rahman Daud berkata, langkah itu dilihat sebagai satu-satunya jalan yang boleh menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak 20 bulan lalu.

"Kita harap masalah ini diserahkan kepada sebuah jawatankuasa untuk bertemu Thaksin dan membincang agar masalah yang berlarutan sekarang, dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat sunat hajat di Kampung Kenuak, Daerah Ragae di Narathiwat (selatan Thai), semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk kampung dan pemimpin masyarakat, hadir di majlis itu yang diakhir dengan doa selamat, memohon kepada Allah SWT agar bencana yang menimpa rakyat yang beragama Islam di wilayah yang bergolak itu, akan berakhir.

Abdul Rahman berkata, banyak jalan penyelesaian boleh dilakukan sekiranya semua pihak turut memberi kerjasama, termasuk kerajaan tidak menakutkan rakyat melalui tindakan ketenteraan.

Beliau berkata, pencerobohan rumah-rumah tanpa melalui peraturan dan undang-undang seperti yang dilakukan pihak tentera, bukan sahaja menimbulkan kemarahan, tetapi juga membuat rakyat berdendam.

Mangsa tidak berdosa

Banyak laporan yang diterima mengatakan, kerajaan tidak bersikap adil dengan melakukan tindakan secara kekerasan terhadap orang yang tidak berdosa dengan menangkap dan menahan mereka yang tidak bersalah.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rahman berkata, tindakan itu menjejaskan nama baik kerajaan di kalangan masyarakat dan juga dunia.

"Cubalah kerajaan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, masalah yang berlaku sekarang tidak mempunyai punca sebagaimana yang berlaku sebelum ini, di mana ada kumpulan tertentu yang bertanggungjawab menimbulkan keadaan huru-hara di wilayah ini.

Bagaimanapun, dengan tindakan melampau kerajaan menembak mati orang yang tidak berdosa atas alasan memburu pengganas yang dianggap militan oleh kerajaan, katanya, "saya rasa kerajaan perlu adakan pertimbangan dalam menentukan tindakan agar rakyat tidak berterusan berada dalam ketakutan".

Sementara itu di Bangkok, pegawai-pegawai tinggi anggota tentera dari Malaysia dan Thailand mengadakan mesyuarat tertutup hari ini untuk membincangkan ketegangan di selatan negara itu dan nasib 131 penduduk Islam dari Narathiwat yang mencari perlindungan di Kelantan.

Mesyuarat di Narathiwat

Pihak Malaysia diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang mengetuai delegasi bagi mesyuarat itu bersama rakannya Jen. Chaisit Shinawatra.

Mesyuarat itu diadakan di ibu pejabat Markas Tertinggi Thailand di Narathiwat tetapi kedua-dua pihak tidak mahu menemui media selepas pertemuan itu.

Bagaimanapun mengikut sumber-sumber perbincangan berkisar mengenai 131 pelarian dari Narathiwat itu.

Kedua-dua pihak juga dikatakan telah membincangkan rancangan memperkukuhkan keselamatan di sempadan dan langkah-langkah menghalang percubaan penduduk kampung dari selatan Thailand untuk memasuki Malaysia secara haram.

Sejak Januari lalu, lebih daripada 800 orang telah mati kerana keganasan di tiga wilayah selatan Thailand - Narathiwat, Yala dan Pattani di mana lebih 80 peratus daripada penduduknya beragama Islam.

Juga terdapat laporan bahawa ramai penduduk Islam sedang menunggu di pekan-pekan di sempadan untuk memasuki Malaysia dan mendapatkan perlindungan ekoran keganasan yang berlaku hampir setiap hari di wilayah itu.