PERKASA kaji transkrip inkuiri Suhakam kaitkannya dengan kes Paderi Koh

   

PERKASA akan mengkaji transkrip prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selepas pertubuhan pendesak hak Melayu itu dikaitkan dengan kes penculikan Paderi Raymond Koh.

Naib Presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad berkata beliau kesal dengan kenyataan pegawai penyiasat kes Supari Muhammad dalam inkuiri Suhakam itu yang mana beliau bersetuju bahawa pertubuhan itu relevan dalam kes ini.

Soalan itu ditanyakan Jerald Gomez, peguam yang mewakili keluarga Koh kepada Supari yang memaklumkan PERKASA melindungi pendakwah kontroversi India Zakir Naik.

"Kenyataan ASP Supari ini menimbulkan implikasi yang serius kepada PERKASA yang matlamat utama penubuhannya adalah untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, dalam konteks pemeliharaan keselamatan nasional.

"PERKASA akan mendapatkan transkrip penuh kenyataan ASP Supari daripada Suhakam. Kemudiannya, PERKASA akan menyerahkan manuskrip kenyataan ini untuk dikaji oleh pihak peguam," kata beliau.

Tafsiran 'ekstremisme'

PERKASA juga ingin mentafsirkan maksud 'ekstremisme'.

Katanya berjuang untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan bukan kes 'ekstremisme'.

"PERKASA, dengan ini, menasihati pelbagai pihak di Malaysia, agar semua kenyataan atau persepsi mengenai ekstremisme, radikalisme dan terorisme hendaklah dibuat berdasarkan kajian ilmiah dan empirikal yang komprehensif," kata beliau lagi dalam kenyataan media hari ini.

Sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata menculik Koh di Petaling Jaya pada Februari lalu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat