Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bayi berumur 4 hari antara 44 PATI ditahan di ibu negara'

Sejumlah 440 pendatang asing tanpa izin termasuk bayi berumur empat hari ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di sekitar Jalan Alor dan Jalan Changkat, Bukit Bintang di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata 389 lelaki dan 47 wanita serta empat kanak-kanak termasuk bayi yang ditahan itu terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Vietnam, Pakistan, Indonesia dan India.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 915 pendatang asing dan 440 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tiada pengenalan diri yang sah dan penyalahgunaan pasport," katanya kepada pemberita susulan operasi dari 4.30 petang hingga 7 malam itu.

Menurutnya, individu yang ditahan termasuk mereka yang melakukan pelbagai pekerjaan seperti tukang urut di sekitar Bukit Bintang.

Mustafar berkata mereka yang ditahan akan diusir ke negara asal namun proses undang-undang akan diambil terlebih dahulu kepada sesiapa yang didapati terlibat dengan kegiatan jenayah.

"Tiada istilah kebal atau dilindungi oleh orang tertentu dalam isu ini. Tumpuan juga diberi ke atas individu yang menggaji serta menyewakan premis kepada pendatang asing tanpa izin," katanya.

Selain petugas Jabatan Imigresen, operasi turut disertai kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS