Pilihanraya kampus: Pertembungan dua kumpulan pelajar bermula...
Terjemahan Ketika pilihanraya kampus semakin hampir, kumpulan pelajar yang didakwa 'anti-kerajaan' akan sekali lagi berdepan dengan cabaran calon kumpulan pro-kerajaan yang didakwa mendapat sokongan dari pihak universiti.
Terjemahan Ketika pilihanraya kampus semakin hampir, kumpulan pelajar yang didakwa 'anti-kerajaan' akan sekali lagi berdepan dengan cabaran calon kumpulan pro-kerajaan yang didakwa mendapat sokongan dari pihak universiti.
Kementerian Pengajian Tinggi belum lagi mengumumkan tarikh pilihanraya teresbut, tetapi ramai yang menjangka ia akan diadakan serentak di 17 universiti di seluruh negara pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Pada masa ini, para pelajar sedang bercuti seminggu dan majoriti daripada mereka akan menyambung semula pengajian Isnin ini.
Calon-calon yang bakal bertanding sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar telahpun membuat persiapan untuk berkempen.
Adalah juga difahamkan, kumpulan pro-kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan aspirasi kerajaan dan kumpulan anti-kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan mahasiswa idealis, kini dalam peringkat akhir memilih calon masing-masing.
Kumpulan aspirasi kerajaan dikatakan ditaja oleh pihak berkuasa universiti dan disokong oleh kerajaan, manakala kumpulan mahasiswa idealis dilihat cenderung kepada pembangkang.
Pilihanraya kampus sentiasa mendapat perhatian ahli-ahli politik kerana ia mencerminkan sokongan pelajar kepada pelbagai parti politik di negara ini.
Era reformasi
Pada tahun 1998, berikutan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelahiran gerakan reformasi, kumpulan mahasiswa idealis berjaya menguasai beberapa buah universiti.
Bagaimanapun, kumpulan aspirasi kerajaan berjaya menguasai semula sejak dua tahun lalu di tengah-tengah dakwaan wujudnya salahlaku, politik wang dan taktik ugutan sewaktu pilihanraya kampus.
Pada masa ini, tiga universiti utama dikatakan dikuasai oleh kumpulan mahasiswa idealis.
Seorang pemimpin pelajar berkata, tekanan dikenakan ke atas calon kumpulan mahasiswa idealis dan penyokongnya serta peraturan pemilihan yang tidak adil digunakan sepenuh oleh pihak berkuasa kampus untuk memastikan kemenangan kumpulan aspirasi kerajaan.
"Kita mempunyai asas dan bukti untuk menyokong dakwaan kami itu. Peraturan pemilihan yang tidak adil pada masa lalu, termasuklah pengundian secara elektronik, nombor siri kertas undi dicatat, serta menaikkan jumlah wang deposit dan kelayakan akademik calon," katanya yang tidak mahu namanya disebut.
(Di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti, pelajar dilarang bercakap kepada pihak media kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada naib canselor).
Di Universiti Malaya, calon-calon kumpulan mahasiswa idealis telah memulau pilihanraya kampus selepas pegawai universiti didakwa enggan mengesahkan borang pencalonan mereka tanpa memberi sebarang sebab.
Sebelum ini, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah keras pelaksanaan sistem pengundian elektronik yang didakwa kurang ketelusan.
Sistem pengundian itu yang diperkenalkan pada tahun 2003, telah membolehkan calon-calon aspirasi kerajaan menang besar dan untuk pertamakalinya tahun itu, menguasai Majlis Perwakilan Pelajar.
Ibu bapa calon diugut
Tahun lalu, dua perwakilan pelajar UPM mendakwa mereka diugut dan ibu bapa mereka juga menerima ugutan melalui telefon apabila mereka bertanding dalam pilihanraya kampus mewakili kumpulan mahasiswa idealis.
Manakala calon-calon terdiri daripada pelajar Cina turut menjadi sasaran apabila risalah yang menuduh mereka sebagai 'pengganas' disebarkan secara meluas.
Kumpulan mahasiswa idealis turut mengadu yang bilik asrama mereka digelidah oleh para pegawai universiti setiapkali pilihanraya kampus hampir tiba.
Para pelajar juga diugut tidak akan dibenarkan tinggal di kolej kediaman universiti jika mereka mengundi menyokong kumpulan mahasiswa idealis.
Terdapatnya dakwaan wujudnya sumbangan kewangan dari Umno dan calon-calon dijanjikan ganjaran dalam bentuk wang dan telefon bimbit.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.