MAYC buat laporan polis terhadap Ronnie Liu
Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) hari ini membuat laporan polis terhadap setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu berhubung artikelnya yang memperkecilkan pejuang Kemerdekaan dalam laman web rasmi parti pembangkang itu minggu lalu.
Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) hari ini membuat laporan polis terhadap setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu berhubung artikelnya yang memperkecilkan pejuang Kemerdekaan dalam laman web rasmi parti pembangkang itu minggu lalu.
MAYC cawangan Kuala Lumpur membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini pada pukul 11.30 pagi tadi dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci mengenai niat Liu menulis artikel itu.
Naib pengerusi MAYC Kuala Kuala Lumpur Datuk Mahadi Shukur berkata tindakan mereka itu tidak didorong oleh politik tetapi bimbang dengan pengaruh tulisan itu terhadap belia di negara ini.
"Kami bimbang dengan perbuatan memutarbelitkan sejarah Malaysia yang mungkin mempengaruhi remaja dan mengelirukan pemikiran mereka bahawa pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini tidak memperjuangkan kemerdekaan," katanya kepada pemberita di perkarangan balai polis berkenaan.
Mahadi berkata tindakan itu boleh mengakibatkan perpecahan kaum dan berharap Liu akan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Menurut laporan Bernama, langkah membuat laporan itu diputuskan oleh cawangan Kuala Lumpur dan disokong oleh presiden MAYC Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang juga Menteri Luar.
Artikel dalam lamanweb DAP pada 1 September lalu, mempertikaikan peranan pemimpin Umno memperjuangkan Kemerdekaan manakala ketua Parti Komunis Malaysia, Chin Peng turut menyumbangkan kepada kemerdekaan negara.

