Ketua Pemuda DAP Teng Chang Khim hari ini mendakwa wujud pakatan untuk mengecamnya selepas beliau mengeluarkan kenyataan mendesak Pengerusi parti Lim Kit Siang meletakkan jawatan dalam perhimpunan agung bulan depan.

"Pemimpin Selangor dan pemimpin Pemuda negeri ditekan agar menjalankan kempen mengkritik saya selepas kenyataan malam tadi. Mereka ditekan oleh seorang ahli jawatankuasa peringkat pusat dari Melaka," dedah Teng, juga setiausaha DAP Selangor.

DAP mempunyai tiga pemimpin dari Melaka yang menduduki jawatankuasa pusat, Setiausaha Agung Kerk Kim Hock, Naib Pengerusi Lim Guan Eng dan ahli jawatankuasa Sim Tong Him.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pemimpin terbabit.

Teng, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Klang, dalam satu sidang akhbar semalam berkata Lim harus menolak pencalonan untuk jawatan pengerusi dalam kongres kebangsaan parti itu yang dijadualkan 18-19 Ogos dan menyerahkan kepimpinan kepada mereka yang lebih muda selepas memimpinnya selama 32 tahun.

Pemimpin Pemuda mengulangi kenyataannya semalam bahawa gesaannya itu tidak bermakna beliau terlibat dalam rancangan sulit menggulingkan Lim.

"Saya buat kenyataan itu selepas melihat perkembangan parti dan berbincang dengan para pemimpinnya dan ahli akar umbi," kata Teng.

Beliau berkata, semalam, Lim memegang jawatan setiausaha agung atau pengerusi parti itu "hampir satu generasi." "Saya tidak fikir generasi muda meletakkan sebarang harapan kepadanya dalam masa 30 tahun akan datang," katanya.

"Bagaimanapun, jika memilih untuk bertanding, beliau pasti menang dengan jumlah undi yang besar kerana pengaruhnya dalam parti."

Teng menambah, pemimpin DAP telah cuba mereformasikan parti itu sejak 1991 tetapi gagal.

"Walau telah mencuba tiga kali - pada 1991, 1996 dan tahun lalu, kami gagal mereformasikan parti kerana pengaruh Lim begitu kuat," katanya.

"Kita sekarang perlukan paradigma kepimpinan yang baru. Jika tidak, pengaruh kuat Lim akan menimbulkan kesukaran kepada parti (untuk berubah)," katanya.