Aktivis Datuk Marina Mahathir mempersoalkan mengenai  rancangan kerajaan untuk menjalankan penyelidikan terhadap manfaat durian bagi lelaki.

Ini selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberitahu parlimen hari ini mengenai unsur-unsur afrodisiak dalam durian yang dikatakan baik untuk kesihatan dalaman lelaki.

"Adakah kita benar-benar memerlukan apa-apa untuk bangkitkan ghairah lelaki?" soal Marina dalam posting Facebook.

"Sekiranya ini bagus untuk wanita, adakah akan sesiapa tanya di parlimen? Tiada yang lebih penting untuk ditanya di parlimen?" tambahnya.

Ahmad Shabery bercakap mengenai manfaat durian terhadap lelaki semasa sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Selain unsur afrodisiak, Shabery berkata terdapat pelbagai kajian menunjukkan bahawa durian mengandungi antioksidan yang melambatkan proses penuaan.

Durian menjadi tajuk utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyuarakan eksport buah-buahan ke China.

Dalam ucapan Bajet 2018, Najib berkata durian "Musang King" kini bernilai sehingga RM800 sebiji di Hong Kong.