Terjemahan Siasatan polis terhadap kes remaja berusia 14 tahun yang didakwa dipukul sewaktu dalam tahanan polis menghadapi masalah berikutan keengganan bapanya untuk membawa remaja itu untuk memberi kenyataan.

"Siasatan masih berjalan. Kami tidak melindungi mana-mana anggota polis jika mereka melakukan kesalahan," kata Ketua Polis Shah Alam, Abdul Wahab Embong, ketika dihubungi.

"Tetapi keengganan bapanya membawa anaknya ke sini (balai Shah Alam) menyukarkan siasatan itu diselesaikan," tambahnya.

Remaja tersebut yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kecurian, didakwa telah dipukul oleh sepasukan pegawai polis pada 8 Ogos lalu. Bapanya kemudian mendakwa, remaja tersebut antara lian, mengalami keretakan tulang kaki, akibat kejadian tersebut.

Sebelum ini, peguam remaja tersebut, P Uthayakumar berkata remaja itu terlalu takut untuk pergi semula ke balai berkenaan, tempat dia didakwa dipukul.

Peguam berkata, siasatan itu juga tidak bererti sekiranya pegawai penyiasatan merupakan rakan-rakan kepada anggota polis yang memukul remaja tersebut.

Berikutan itu, bapa remaja itu telah memohon kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Bakri Omar supaya memindahkan kes tersebut ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Ketika dalam tahanan polis, remaja itu mendakwa dia diarah melakukan 150 senam-tubi dan apabila dia mengadu sakit dada, seorang anggota polis menyepak kakinya hingga retak.

Remaja itu juga mendakwa, dia dipukul dengan paip getah, ditampar dengan selipar, ditumbuk dengan sarung tangan tinju manakaka ibu jarinya dipijak dan seluarnya dilondehkan.

'Semuanya mengarut'

Sementara itu, Abdul Wahab tidak menolak kemungkinan satu kenyataan akan dirakamkan di lokasi lain.

"Kami boleh merakamkan (kenyataan) di mana-mana sahaja, tetapi dengan syarat, peguam tidak boleh menemaninya. Rakaman kenyataan itu adalah rahsia," katanya.

Bagaimanapun, peguam Uthayakumar (foto) menyifatkannya sebagai "mengarut".

"Semuanya mengarut. Jika tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, mengapa takut? Apa yang kita bimbangkan ialah kemungiinan pihak polis tanpa kehadiran peguam memaksa remaja itu membuat kenyataan yang bukan dikehendakinya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, syarat yang dikenakan oleh Abdul Wahab itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang memberi hak untuk mendapatkan khidmat peguam.

"Di negara lain, dalam kebanyakan perkara jenayah, seorang peguam akan hadir sama sepertimana di United Kingdom. Jika suspek tidak mahu khidmat peguam, dia perlu menandatangani kenyataan bertulis mengenainya.

"OCPD (ketua polis daerah) tidak boleh menolak Perlembagaan Negara kita sendiri, Article 5 (3) dengan jelas menyatakan suspek mempunyai hak mendapatkan khidmat peguam. Dalam kes ini, nampaknya ia menjadi sebaliknya.

"Hakikat bahawa dia masih lagi remaja, maka sudah tentulah dia memerlukan seseorang untuk melindunginya," tambahnya.

Menunggu laporan penuh

Dalam perkembangan berkaitan, bapa remaja tersebut telah mendapatkan pemeriksaan doktor lain, selepas doktor yang memeriksa anaknya sebelum ini, menyatakan tidak terdapat keretakan pada kaki kanannya sepeti didakwa sebelum ini.

Berdasarkan kepada gambar x-ray, doktor daripada Hospital Klang memberitahu bapa remaja itu bahawa tidak terdapata tanda-tanda keretakan walaupun kakinya cedera.

"Saya tidak puas hati. Jadi saya pergi ke klinik di Jalan Pudu semalam, dan pemeriksaan doktor kedua itu mendapati ada sedikit keretakan.

"Bagaimanapun, kami sedang menunggu laporan perubatan sepenuhnya untuk diserahkan kepada peguam kami," kata bapa remaja itu ketika dihubungi.

Uthayakumar pula berkata, beliau sedang menunggu laporan perubatan tersebut untuk menyiapkan dokumen untuk mengambil tindakan menyaman polis, KPN, ketua polis Selangor dan pihak kerajaan.