Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Umno Baru perlukan 2 tahun untuk buat AGM
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 11:22 PM
Dikemaskini: 3:27 PM

Umno Baru mengambil masa dua tahun untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang pertama, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Justeru, beliau menyifatkan bahawa tidak munasabah apabila BERSATU diminta mengadakan AGM dalam masa setahun selepas didaftar secara rasmi.

Katanya, BERSATU hanya mempunyai beberapa bahagian yang telah ditubuh secara rasmi dan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Katanya lagi, AGM perlu dibuat di peringkat cawangan dan bahagian terlebih dulu, sebelum peringkat pusat.

"(Sama) macam Umno, ia perlu bermula dari cawangan, bahagian, sehinggalah ke perhimpunan agung.

Kita akan minta panduan ROS mengenai perkara ini (dan) bagaimana kita dapat laksanakannya," katanya pada sidang media di Pagoh, hari ini.

Beliau memaklumkan setakat ini hanya lapan bahagian parti itu yang diluluskan oleh ROS dan tiada bahagian yang berusia lebih setahun bagi memerlukan AGM dibuat.

"Misalnya (BERSATU) bahagian Pagoh diluluskan pada 24 Julai, baru empat bulan. Ia belum lengkap setahun untuk mengadakan mesyuarat agung," katanya.

Muhyiddin yang menjadi menteri besar Johor ketika pendaftaran Umno dibatalkan pada 1988 berkata yang beliau terlibat dalam penubuhan Umno Baru dan tahu prosedur yang sepatutnya.

'Kami akan patuhi ROS'

"Ini bukan nostalgian kepada Umno...Masa yang lama diperlukan untuk memilih jawatankuasa bahagian...Kita (BERSATU) baru bermula.

"Kami akan patuh kepada arahan (ROS), tapi kita minta pencerahan (tentang prosedur) dan masa yang sesuai (untuk mengadakan pertemuan dengan ROS).

Terdahulu, Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim berkata BERSATU telah memohon untuk menangguhkan AGM mereka tetapi penangguhan itu tidak diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Justeru, katanya, tindakan itu melanggar perlembagaan parti dan ia adalah kesalahan serius yang boleh menyebabkan pendaftarannya terbatal.

Jika BERSATU dibatalkan, parti itu tidak akan dapat menggunakan logonya pada pilihan raya umum akan datang.

Suriyati juga berkata ROS tidak mengiktiraf mesyuarat agung khas (EGM) parti itu yang dikatakan dibuat pada 2 November 2016 kerana minit mesyuarat menunjukkan hanya 12 pemimpin majlis pimpinan tertinggi yang hadir.

BERSATU mendakwa pada mesyuarat itu, perlembagaan parti dipinda untuk mengubah nama sayap pemudanya daripada Pemuda Bersatu kepada ARMADA.

Muhyiddin tidak mengulas isu tersebut pada sidang media tadi.

Ketika ini, laman Facebook sayap pemuda BERSATU yang sebelum ini menggunakan nama 'ARMADA PPBM' sudah ditukar kepada 'Pemuda PPBM'.

Lihat Komen
ADS