Kerajaan Malaysia menolak dakwaan Menteri Pertahanan Thail bahawa anggota puak pemisah negara itu telah mengadakan perjumpaan di Langkawi untuk merancang serangan di wilayah selatannya.

"Kita tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung tuduhan tersebut dan perjumpaan seumpama itu diadakan di Langkawi untuk merancang sesuatu...jika pihak berkuasa Thai ada maklumat, berkongsilah dengan kita.

"Kerana buat masa ini, tidak ada maklumat langsung yang menunjukkan (perjumpaan itu diadakan)," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipetik oleh TV3 semalam.

Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Thai, Thammarak Issarangkura Na Ayutthaya dilaporkan sebagai berkata anggota utama puak pemisah tersebut telah mengadakan perjumpaan di sebuah pulau peranginan dan pihak perisikan Thai sedang mengawasi aktiviti di kawasan tersebut.

"Kami akan mengatasi secara rapat mulai sekaranbg," katanya dalam laporan akhbar Nation .

Pulau milik Dr M?

Laporan itu menyebut, Thammarak mendakwa pulau tersebut milik bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang minggu lalu menyarankan supaya Malaysia menawarkan suaka kepada 131 penduduk Islam Thai yang lari mencari perlindungan di Malaysia bulan lalu.

Pasukan Polis Malaysia juga menafikan dakwaan menteri luar Thai itu.

"Saya menafikan dakwaan tersebut kerana tidak ada sebarang aktiviti seumpama itu pulau berkenaan (Langkawi)," kata Ketua Polis Kedah, Mohamed Zuber Shariff dalam laporan akhbar Sunday Star .

Rabu lalu, Dr Mahathir berkata, cadangannya pada Oktober lalu supaya Thailand menimbang memberi kuasa autonomi kepada wilayah selatan Thai untuk mengurangkan keganasan di sana, tidak diterima dengan baik oleh pihak berkuasa negara itu.

Sekurang-kurangnya 935 orang terkorban dalam wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dalam keganasan yang berlaku dan para penganalisa dan pihak berkuasa mendakwa ianya dilakukan oleh puak pemisah Islam, para penjenayah dan penyeludup dadah.

- AFP