Pulo nafi rancang 131 penduduk Islam lari ke Malaysia
Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) menafikan dakwaan kerajaan Thailand bahawa pertubuhan itu merancang tindakan 131 rakyat Islam Thailand melarikan diri ke Malaysia dua minggu lalu.
Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) menafikan dakwaan kerajaan Thailand bahawa pertubuhan itu merancang tindakan 131 rakyat Islam Thailand melarikan diri ke Malaysia dua minggu lalu.
Akhbar Nation hari ini melaporkan ia menerima kenyataan dari ibu pejabat pertubuhan Islam yang diisytiharkan sebagai penjenayah di Eropah itu, menafikan bertanggungjawab terhadap insiden terbabit.
Pulo turut menafikan tindakan itu dilakukan untuk mencemari imej Thailand di persada antarabangsa tetapi berkata penduduk kampung terbabit melarikan diri kerana takut kepada pihak berkuasa dan perintah keselamatan yang diluluskan baru-baru ini.
Menurut laporan Bernama, pertubuhan itu menafikan sebarang hubungan dengan Pertubuhan Hak Asasi Melayu Pattani yang didakwa kerajaan sebagai barisan politik mereka.
Kementerian Luar mendakwa Pulo mengatur kemasukan pelarian itu ke Kelantan dan membawa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menemubual penduduk kampung meskipun dibantah oleh Bangkok.
Lebih 1,000 terkorban
Pulo muncul dalam tahun 1970an semasa perjuangan bersenjata oleh etnik Melayu di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat bagi menuntut kemerdekaan daripada Thailand.
Keamanan dipulihkan pada dekad yang lalu tetapi keganasan tercetus semula tahun lalu. Angka rasmi menunjukkan lebih 1,000 orang terkorban sejak puak pemisah melancarkan siri pengeboman dan tembakan.
Parlimen Thailand dimaklumkan minggu lalu bahawa sekurang-kurangnya 1,037 orang terbunuh manakala 1,551 orang cedera sejak 20 bulan lalu di wilayah selatan yang bergolak.
Dari 1 Januari hingga Khamis lalu, sekurang-kurangnya 369 orang terbunuh dan 826 cedera dalam lebih 1,300 kejadian keganasan.
Mangsa termasuk tentera, polis, puak yang disyaki pemberontak dan penduduk kampung yang tidak berdosa daripada kalangan masyarakat serta kakitangan kerajaan seperti guru yang beragama Islam dan Buddha.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.