Melbourne pula terima ancaman keganasan Al-Qaeda
Pihak berkuasa Australia sedang meneliti satu rakaman pita video yang dipercayai dihantar oleh pengganas al-Qaeda, yang memberi amaran bahawa Melbourne akan menjadi sasaran serangan pengganas.
Pihak berkuasa Australia sedang meneliti satu rakaman pita video yang dipercayai dihantar oleh pengganas al-Qaeda, yang memberi amaran bahawa Melbourne akan menjadi sasaran serangan pengganas.
Pita yang pada mulanya disiarkan oleh ABC News di Amerika Syarikat (AS) itu diperolehi daripada sebuah pertubuhan media di Pakistan, dan antara kandungannya merujuk kepada amaran tentang serangan ke atas Los Angeles.
Rakaman itu menunjukkan seorang anggota al-Qaeda yang memakai topeng, yang dipercayai lelaki berasal dari California, Adam Gadahn mengancam serangan ke atas kedua-dua bandaraya itu.
"Semalam, London dan Madrid. Esok, Los Angeles dan Melbourne," kata jurucakap yang dirakamkan dalam pita tersebut. Dan beliau juga memberi amaran bahawa penyerang itu tidak akan menunjukkan belas ihsan.
"Kami cintakan kedamaian, tapi kedamaian mesti mengikut syarat-syarat kami," menurutnya lagi.
Menurut laporan Bernama, Gadahn dipercayai adalah seorang pemuda Amerika yang muncul dalam satu lagi rakaman pita amaran yang ditemui kira-kira setahun lalu.
Jurucakap polis berpengkalan di Melbourne, Insp Craig Walsh berkata pihak berkuasa Australia akan menganalisa rakaman pita video itu.
Masih terlalu awal
"Kami sedang menyiasat dengan bantuan rakan sejawatan di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan salinan pita itu," kata Walsh yang dipetik oleh Australian Associated Press.
"Sebaik sahaja kami menerimanya, rakaman pita itu perlu dipastikan ketulenan dakwaannya terlebih dahulu, dan kandungannya akan dianalisa serta ditimbangkan sebelum kami membuat sebarang keputusan lanjut mengenainya," tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Russ Knocke, jurucakap Department of Homeland Security AS berkata pihak berkuasa Amerika sedang berusaha untuk mengesahkan pita itu.
Beliau dilaporkan berkata "tidak ada maklumat risikan yang tertentu untuk mengesahkannya".
"Kami sememangnya sedar tentang usaha al-Qaeda untuk menyerang AS dan lain-lain kepentingan kami di luar negara," katanya.
Sementara itu, jurucakap Peguam Negara Australia, Philip Ruddock berkata perkara itu
memang dipandang serius oleh pihaknya, namun ia masih terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang ketulenannya.
Seorang pakar al-Qaeda pula berkata, beliau percaya bahawa pita video itu mungkin cubaan sesetengah pihak untuk mencuri tumpuan ekoran kehadiran ulang tahun serangan 11 September.
Pakar keganasan AS Bernard Reich, dari University of Virginia, pula bagaimanapun meragui sekiranya ancaman itu benar-benar serius.
"Tekaan asaya adalah ia tidak akan sampai kemana, melainkan ia adalah usaha untuk mengambil peluang kerana kehadiran ulang tahun serangan 11 September, dan ia mungkin sedang berusaha membina kredibiliti sendiri," kata Dr Reich kepada radio ABC.

