Kedutaan Malaysia di Washington masih berusaha mengesan 450 rakyat Malaysia yang berkemungkinan menetap di kawasan yang dilanda Taufan Katrina dalam kawasan Gulf Coast di Amerika Syarikat, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Daripada jumlah tersebut, 50 orang setakat ini telah memberi respons kepada kedutaan itu menerusi telefon dan e-mel.

"Tiada kematian di kalangan rakyat Malaysia yang dilaporkan setakat ini," katanya kepada wartawan Malaysia pada persidangan akhbar di New York semalam.

Rakyat Malaysia terbabit, yang tidak mendaftar kehadiran mereka di AS dengan kedutaan, mungkin telah berpindah selepas taufan dan tidak lagi tinggal di kawasan itu semasa Katrina melanda tiga negeri Lousiana, Mississippi dan Alabama, katanya.

Jabatan Negara serta pegawai-pegawai negara itu, selain Konsulat Malaysia di Houston, sudahpun dimaklumkan mengenai kehilangan rakyat Malaysia dan kedutaan masih menunggu khabar berita daripada mereka.

Beribu-ribu orang terkorban dan bandar raya New Orleans paling teruk terjejas apabila tambak pecah dan membanjiri bandaraya itu sehingga mengakibatkan pemindahan besar-besaran penduduknya.

Golongan miskin yang kehilangan tempat tinggal ekoran kejadian taufan itu, dipindahkan ke negeri lain untuk mendapatkan perlindungan atau terus terperangkap dalam zon yang dilimpahi banjir.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata, Malaysia bersimpati dengan mangsa Katrina dan menyumbangkan AS$1 juta kepada Palang Merah Antarabangsa untuk membantu usaha menyalurkan bantuan.