Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kos sara hidup dorong 6 MP PAS undi tak sokong Bajet'
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 11:56 PM
Dikemaskini: 4:17 PM

PARLIMEN | Ikhtiar pihak pembangkang yang hampir berjaya untuk mengundi menolak Bajet 2018 dibantu oleh enam orang anggota parlimen PAS.

Anggota Parlimen PAS dari Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata selain beliau terdapat lima lagi MP yang berbuat demikian iaitu Ahmad Marzuk Shaary (Bachok), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Husin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

"Mereka beritau saya ini kali undi tolak sebab ini melibat soal kos kehidupan," Mahfuz memberitahu Malaysiakini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat usul pengundian blok (belah bahagian) malam ini selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
menyimpulkan bahagian Bajet 2018 semasa peringkat jawatankuasa.

Langkah tersebut tewas tipis 52-51.

Dua MP PAS, anggota parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad (gambar, atas) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) berkecuali daripada mengundi.

"Kita kalah satu undi. Rakyat akan fikir bahawa dua MP yang berkecuali daripada mengundi ini menyebabkan kekalahan kita," kata Mahfuz.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin utama Datuk Takiyuddin Hassan, Nasrudin Hassan, Nik Abduk Nik Aziz, Mohd Khairuddin Aman Razali serta ketua kelab penyokong parti Che Rosli Che Mat juga tidak hadir.

Pada pengundian belah bahagian (blok) terhadap Bajet 2018 pada peringkat polisi sebelum ini, 11 orang MP PAS kecuali Mahfuz berkecuali daripada mengundi.

Taktik berkecuali ini menjadi amalan PAS ketika membuat undian belanjawan persekutuan, sejak ia berpisah dengan PKR dan DAP.

Lihat Komen
ADS