Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Pemuda Umno Perak buat laporan polis palsu mengenai video

Selepas menafikan sebuah video yang mendakwa beliau menggunakan perkataan kesat terhadap Menteri Besar Perak Datuk Sri Zambry Abdul Kadir, Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming kini mendakwa Pemuda Umno Perak telah memfailkan sebuah laporan polis palsu terhadap dirinya.

Nga berkata beliau telah membuat laporan polisnya sendiri terhadap sayap pemuda itu kerana jelas video berkenaan adalah palsu.

"Saya buat laporan polis terhadap mereka kerana membuat laporan polis palsu. Mereka tahu video itu palsu," beliau memberitahu Malaysiakini.

Semalam, sebuah kumpulan diketuai naib ketua pemuda Umno Perak Mohd Fauzi Mohaidin membuat laporan polis terhadap anggota parlimen DAP itu mengenai sebuah video yang mendakwa Ngo menggelarkan Zambry sebagai 'Melayu p***mak'.

Ketua DAP Perak itu berkata video tersebut palsu dan telah diedit.

Bagaimanapun beliau mengakui bercakap dalam bahagian lain video itu yang mana beliau mendakwa Zambry (gambar, bawah) telah membayar untuk mendapatkan anugerah yang diterima beliau pada Ogos lalu.

Selain laporan polis terhadap Pemuda Umno Perak, Nga juga membuat laporan polis terhadap portal berita yang menerbitkan artikel yang menyiarkan dakwaan sama dengan video itu.

Kontroversi terkini ini muncul di tengah-tengah kedua-dua pihak yang berlawanan secara politiknya saling mendakwa masing-masing terlibat dengan fitnah dan berita palsu menjelang pilihan raya umum ke 14.

Selain serangan terhadap Zambry berkenaan anugerah Brandlaureatte, video itu juga memainkan kata-kata Nga 'hitam metalik' yang mendapat perhatian pada 2011.

Nga memohon maaf kerana berkata demikian tetapi menjelaskan 'hitam metalik' tidak merujuk kepada kulit gelap menteri besar itu.

Selain Nga, video itu juga memainkan klip bekas anggota DAP Hew Kuen Yew, termasuklah kata-kata beliau ketika berceramah di Sarawak tahun lalu apabila beliau menyeru para pengundi untuk membiarkan 'Melayu skru Melayu'.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS