Pemuda Umno dibidas kerana siarkan sendaan murahan
Terjemahan Lamanweb Pemuda Umno telah menyiarkan gambar kulit depan buku biografi pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), bertajuk Alias Chin Peng: My Side of History, yang turut ditampal wajah setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu serta beberapa pemimpin parti pembangkang.
Terjemahan Lamanweb Pemuda Umno telah menyiarkan gambar kulit depan buku biografi pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), bertajuk Alias Chin Peng: My Side of History, yang turut ditampal wajah setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu serta beberapa pemimpin parti pembangkang.
Gambar sendaan tersebut disiarkan dalam bahagian sejarah 'kartun korner' dalam lamanweb pergerakan itu Jumaat lalu.
Selain Ronnie, turut ditampal pada kulit depan buku tersebut ialah wajah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh.
Menurut laporan dalam akhbar berbahasa Cina, Ronnie telah membuat laporan polis di Sitiawan semalam dengan mendakwa ia mengandungi unsur-unsur hasutan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menuntut Pemuda Umno supaya memohon kerana menyiarkan 'bahan yang berunsur hasutan" itu.
Webmaster lamanweb Pemuda Umno itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu.
Jadi sasaran
Sebelum ini, Ronnie menjadi sasaran Pemuda Umno berhubung tulisannya yang disiarkan di dalam lamanweb DAP sempena sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini.
Pemuda Umno mendakwa, kandungan artikel Ronnie itu telah memperkecil-kecilkan sumbangan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan mencapai kemerdekaan negara.
Ketua Pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein membuat tuduhan tersebut kerana mendakwa Liu telah menulis bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) memberi sumbangan lebih besar dalam perjuangan mencapai kemerdekaan negara.
Ketika dihubungi hari ini, Liu menyifatkan gambar tersebut sebagai berunsur 'dendam, hasutan dan tidak perlu langsung', tetapi berkata beliau menyerahkan kepada biro perundangan parti itu untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Menurut Liu, bukan beliau seorang sahaja yang menjadi sasaran Pemuda Umno kerana wajah beberapa pemimpin parti pembangkang yang lain, juga turut ditampal pada gambar kulit muka depan buku Chin Peng tersebut.
Lim juga melahirkan rasa kekecewaannya terhadap perkara tersebut, dan berkata ia tidak langsung mencerminkan 'rasa tanggungjawab politik dan terhadap pembinaan negara'.
Gimik murah
Manakala Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Mohd Ezam Mohd Noor pula berkata, isu kemerdekaan negara adalah sesuatu yang serius dan Pemuda Umno tidak sepatutnya bersenda begitu.
"Kita rasa meluat. Gambar ini mencerminkan moral yang rendah serta satu gimik murah. Sesuatu isu sepenting isu kemerdekaan tidak boleh diperkecil-kecilkan," katanya ketika dihubungi.
Ezam berpendapat, adalah lebih baik bagi Pemuda Umno memfokuskan kepada usaha untuk menganjurkan forum bagi membincangkan isu-isu mengenai pejuang kemerdekaan, daripada terbabit dalam perbuatan sendaan yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab seperti itu.
Katanya, kini wujud keperluan untuk mengesan dan mengiktiraf pejuang kemerdekaan seperti Burhanuddin Helmy dan Pak Sako (Ishak Haji Muhd).
Oleh kerana Umno merupakan parti utama, maka katanya, Pemuda Umno sepatutnya mengambil inisiatif ke arah itu.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub turut menyifatkan tindakan Pemuda Umno itu sebagai tidak bermoral dan hanya mahu mencetuskan provokasi.

