Speaker: Tangisan ketua pembangkang Kelantan gimik raih publisiti
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub mempertahankan tindakannya mengarahkan Ketua Pembangkang Datuk Nozula Mat Diah keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Malah beliau menyifatkan tindakan Nozula yang menangis selepas itu sebagai gimik untuk meraih publisiti.
"Modus operandi dia (Nozula) saya tahu. Boleh jadi dia merasakan ini persidangan terakhir.
"(Maka) Nak popular dengan harapan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang akan dicalonkan lagi,"katanya kepada pemberita di DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Ketika perbahasan tadi, sidang DUN kecoh seketika apabila Abdullah bertindak menghalau Nozula atas sebab melanggar peraturan dewan selepas dikatakan menggangu sesi penggulungan pihak kerajaan negeri, walaupun selepas diberi amaran beberapa kali.
Sebelum itu, Nozula beberapa kali memohon mencelah ketika penggulungan Exco kesejahteraan rakyat, kesihatan, alam sekitar dan NGO Datuk Dr Ramli Mamat namun ditolak Abdullah.
Selepas dihalau, Nozula yang ditemui wartawan menangis dan berkata haknya untuk berucap selaku ketua pembangkang telah dinafikan.

Abdullah menafikan dakwaan itu dan berkata wakil rakyat pembangkang telah diberi ruang secukupnya ketika sesi perbahasan kali ini.
Tambahan pula, katanya lagi, aturan dewan menetapkan sesi perbahasan berakhir semalam dan hari ini hanya untuk penggulungan oleh kerajaan negeri.
“Saya nak berlaku adil dalam dewan, sebab itu saya beri peluang sepenuhnya kepada semua ADUN berucap. Dalam sesi bahas semalam, 10 ahli dewan berucap iaitu empat wakil pembangkang dan enam kerajaan.
"Jika diikutkan pembangkang hanya ada 14 tetapi saya beri peluang empat wakil mereka untuk berucap," katanya lagi.

