Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyambut baik saranan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim agar amalan menempatkan tertuduh di dalam kandang semasa perbicaraan kes jenayah dikaji semula.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Abim berpendirian bahawa saranan Ahmad Fairuz itu perlu diberikan perhatian sewajarnya, dengan mengambil kira kajian terhadap faktor kesesuaian dan keselamatan.

"Itu merupakan suatu idea yang dialu-alukan dalam usaha memperluaskan amalan terbaik di dalam sistem kehakiman negara kita," menurut Presiden Abim, Yusri Mohamad.

"Amalan sedia ada bukan sahaja tidak selaras dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah bahkan bercanggah dengan ajaran Islam," katanya.

Yusri menegaskan Islam bukan sahaja memberi penekanan terhadap tempat duduk yang sama bagi pihak-pihak bertelingkah tetapi juga perkara-perkara lain yang boleh menimbulkan prejudis.

Beliau memberi contoh tentang para hakim yang dilarang daripada bangun memberi penghormatan atau menjawab salam salah seorang yang bertelingkah, dan menurutnya beliau yakin panduan tersebut mampu menjamin layanan sama rata bagi semua pihak yang bertelingkah.

Yusri menjelaskan Abim menyokong usaha-usaha berterusan pihak kehakiman untuk merealisasikan prinsip-prinsip keadilan demi mewujudkan masyarakat Malaysia yang terjamin keharmoniannya melalui pendekatan terbaik perlaksanaan undang-undang.