Dua warganegara Singapura dihadapkan ke mahkamah di repuklic tersebut mengikut Akta Hasutan hari ini kerana dituduh menyiarkan kenyataan berunsur perkauman dalam tulisan mereka pada Jun tahun ini.

Nicholas Lim, 25, dan Benjamin Koh Song Huat, 27, yang masing-masing menghadapi dua dan tiga tuduhan, mungkin menjadi orang pertama di negara itu didakwa mengikut akta itu.

Mereka yang melakukan kesalahan kali pertama mengikut akta berkenaan boleh didenda hingga S$5,000 atau dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Channel NewsAsia melaporkan Lim dituduh menyiarkan kenyataan berunsur perkauman melalui forum perbincangan umum di alamat www.doggiesite.com pada 16 dan 17 Jun manakala Koh dituduh melakukan perbuatan serupa pada 12, 15 dan 17 Jun melalui alamat www.upsaid.com .

Kedua-dua mereka yang dibenar ikat jamin, akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 21 September ini.

Menurut laporan Bernama , Blog, kependekan bagi web log, adalah jurnal dalam talian yang digunakan oleh penggunanya untuk mencurahkan pendapat.

Walaupun blogger di republik itu boleh dikatakan bebas menyiarkan pendapat masing-masing, tetapi sesetengah tulisan mereka menimbulkan rasa tidak senang hati pihak berkuasa.

Pada Mei tahun ini, seorang pelajar telah memohon maaf kepada Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura kerana menyiarkan beberapa kenyataan yang dianggap mengandungi fitnah oleh agensi itu.