Terjemahan Polis telah memulakan siastan terhadap laporan yang dibuat oleh DAP berhubung gambar sendaan yang disiarkan dalam lamanweb rasmi Pemuda Umno.

Pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Kamil Abdul Jalil dari balai polis Sitiawan di Perak mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pihak polis telah merakamkan kenyataan daripada mereka yang terbabit dalam kes tersebut.

Lamanweb Pemuda Umno telah menyiarkan gambar kulit depan buku biografi pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), bertajuk Alias Chin Peng: My Side of History, yang turut ditampal wajah setiausaha biro antarabangsa DAP, Ronnie Liu serta beberapa pemimpin parti pembangkang.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Laporan polis tersebut dibuat oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham semalam. Beliau mendakwa gambar tersebut memberi tanggapan bahawa individu berkenaan sama ada komunis ataupun pro-komunis.

Tindakan undang-undang

Dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Ngeh berkata, peguam DAP mahu Pemuda Umno disiasat di bawah Akta Hasutan.

Katanya, ini kerana Pemuda Umno telah mencetuskan persepsi masyarakat terhadap pihak pembangkang dan mencetuskan kebencian terhadap individu (dalam gambar tersebut).

Beliau berkata, penal peguam DAP juga sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Sitiawan, Nga Khor Ming turut mencabar pemimpin Pemuda Umno berdebat mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Pemuda Umno juga perlu memohon maaf secara terbuka jika mereka gagal membuktikan yang individu-individu dalam gambar tersebut pro-komunis.

Sementara itu, Ngeh pula berkata mereka yang rasional boleh membezakannya dengan jelas (antara DAP dan Komunisme).