Husam: Dia nak cakap 30 minit saja, speaker
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa membidas tindakan Speaker Datuk Abdullah Ya'kub yang menurutnya “terkejar-kejar untuk bersurai” sehingga tidak memberi laluan kepada ketua pembangkang.
Husam turut menyindir sama ada Abdullah terlalu penat untuk menambah masa hanya 30 minit lagi bagi membolehkan Ketua Pembangkang Norzula Mat Diah (BN-Paloh) berbahas.
“Apa salahnya, YB Paloh dibenarkan berucap, paling lama setengah jam. Sidang ditarik sampai petang, lalu ditangguhkan?
“Penat sangatkah speaker dengan tambahan setengah jam lagi masa bersidang. Bukankah surat panggilan bersidang untuk semua ADUN adalah tiga hari,” soal Husam di Facebooknya, semalam.

Semalam, Abdullah menghalau Nozula daripada dewan selepas bertegas mahu berucap sebentar ketika pihak kerajaan membuat penggulungan.
Nozula kemudian menangis dan akur dengan keputusan speaker.
Bagaimanapun, sebelum keluar, dengan suara yang terketar-ketar kerana sebak, beliau sempat berkata “tuhan akan balas”.
Pahang bersidang seminggu
Sementara itu Husam turut mempersoalkan kenapa sidang DUN Kelantan sering “terkejar-kejar” untuk ditamatkan awal.
"Setiap kali bersidang, DUN Kelantan terkejar-kejar untuk bersurai. Apa yang menyebabkan kerajaan Kelantan terburu-buru tak menentu.
“DUN Pahang yang dikuasai Umno boleh bersidang sampai tujuh hari untuk sidang belanjawan.
“Mengapa Kelantan mesti hanya dua hari? Dari tiga hari, petangnya tidak ada sidang, masa sebenar bersidang kurang dari tiga hari,” kesalnya.

