Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan ahli-ahli pertubuhan itu tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Kerajaan Malaysia dan memohon kerajaan menghentikan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya serta pertubuhan itu, demikian menurut pernyataan pembelaan yang difailkan oleh Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Menurut pernyataan pembelaan tersebut yang difailkan pada 16 Ogos lalu(salinannya diedarkan kepada media hari ini), kerajaan mendakwa daripada aspek sejarah dan pengetahuan umum di negara ini, nama, reputasi dan maruah Chin Peng dan ahli-ahli pertubuhan itu telahpun terjejas dengan teruknya dalam pandangan orang awam sekian lama ini.

Kerajaan Malaysia juga mendakwa Chin Peng juga tidak boleh membawa tindakan itu bagi pihak ahli-ahli pertubuhan itu kerana relif yang dipohon ialah gantirugi untuk memfitnah.

Kerajaan Malaysia mendakwa tindakan saman itu melanggar hak bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut laporan Bernama, pembelaan itu telah difailkan berikutan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 Ogos lalu untuk Kerajaan Malaysia memfailkan pernyataan pembelaannya.

Chin Peng atau dilahir dengan nama Ong Boon Hua, 81, telah mengemukakan saman itu terhadap Kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM, untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Perjanjian Damai 1989 serta persetujuan yang ditandatanganinya di Haadyai, Thailand, masih sah.

Beliau juga mahu satu injunksi bagi menghalang Kerajaan Malaysia serta ejennya daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berdasarkan perjanjian damai berkenaan selain menuntut ganti rugi.

Saman itu difailkan selepas laporan 21 Mac dan 6 Mei lalu di mana Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mengumumkan bahawa RTM akan menyiarkan filem pendek mengenai kekejaman pengganas komunis.

Chin Peng yang dilahirkan di Sitiawan,Perak, kini tinggal di Thailand dan telah mengemukakan permohonan di mahkamah Malaysia untuk kembali menetap di Malaysia.