Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Itu cerita lama', kata CEO mengenai tuduhan Saifuddin
Diterbitkan:  Nov 24, 2017 8:43 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dituduh mempunyai konflik kepentingan apabila menyerahkan projek kepada sebuah firma swasta berkata, dakwaan pemimpin PKR hari ini bukan sesuatu yang baru.

"Ini cerita lama," kata Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd, Samrulzaman K Mohideen kepada Malaysiakini.

"Tetapi saya simpan komen saya buat masa sekarang. Saya akan berbincang dengan syarikat saya mengenai tindakan selanjutnya," kata Samrulzaman ketika ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Beliau merujuk kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang hari ini mendakwa Samrulzaman memegang jawatan pengarah dalam SSJ Engineering Consultancy, ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif JKP.

Saifuddin berkata JKP telah menyalurkan projek bernilai RM3 juta kepada SSJ, di mana Samrulzaman menjadi pengarahnya.

Berdasarkan dokumen yang disediakan, Saifuddin berkata Samrulzaman dilantik sebagai pengarah di SSJ pada 5 Disember 2005, tetapi beliau meletak jawatan seminggu kemudian.

Bagaimanapun, beliau terus menandatangani cek dan berkomunikasi dengan pihak bank bagi pihak firma kejuruteraan itu.

Saifuddin menggesa Pengerusi JKP, Datuk Zainal Abidin Osman, yang juga Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, menjelaskan perkara itu.

Terdahulu, Zainal Abidin memberi amaran bahawa beliau akan mendedahkan kelemahan kerajaan negeri Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Disember.

Sebagai tindak balas, Saifuddin memberi amaran bahawa beliau akan melakukan beberapa siri pendedahan menjelang Perhimpunan Umno, dan menyeru Zainal Abidin untuk menjaga partinya terlebih dahulu.

Malaysiakini telah menghubungi Zainal Abidin untuk mendapatkan respon.

Lihat Komen
ADS