BPR lancar portal khas untuk terima aduan mengenai rasuah
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelakuan rasuah boleh membuat aduan menerusi portal atau lamanweb khas Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelakuan rasuah boleh membuat aduan menerusi portal atau lamanweb khas Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat BPR, Moh Shamsudin Yusof berkata, pelancaran portal itu adalah sebagai tambahan kepada saluran sedia ada bagi memastikan gejala rasuah dapat dibendung sehingga ke peringkat akar umbi.
Selain itu, katanya portal berkenaan juga bertujuan merapatkan jurang hubungan serta kerjasama agensi itu dengan masyarakat yang masih wujud pada masa ini.
"Pelancaran portal ini akan dibuat serentak dengan pelancaran Akademi BPR Asia Tenggara (di negara ini) dalam tempoh sebulan dua bulan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kolokium Pemantapan Pencegahan Rasuah peringkat zon timur di Setiu hari ini.
Kira-kira 180 kakitangan di bawah agensi Kementerian Penerangan iaitu Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Terengganu, Kelantan dan Pahang menyertai kolokium dua hari itu.
Menurut laporan Bernama, Moh Shamsudin berkata, sebarang maklumat yang diterima menerusi portal itu, termasuk kes berprofil tinggi, akan disiasat dengan adil dan pemberi maklumat dilindungi sepenuhnya.
Perkongsian bestari
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, BPR telah mengadakan perkongsian bestari dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan keberkesanan dalam mengatasi masalah rasuah.
"Pada masa ini, pegawai BPR (untuk pendidikan) hanya dua orang di setiap negeri. Jadi, melalui perkongsian bestari ini, orang ramai boleh membuat laporan di balai-balai polis berdekatan agar siasatan mengenai pelakuan rasuah ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata, sejak perkongsian itu diperkenalkan, kualiti maklumat yang diterima juga semakin baik dan ia memudahkan siasatan.
Selain pendekatan tersebut, beliau berkata maklumat juga boleh disalurkan menerusi surat atau pengadu boleh datang sendiri ke pejabat BPR untuk memberikan butiran mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, agensi itu juga sedang menimbang untuk menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai salah satu pendekatan dalam penyaluran maklumat mengenai pelakuan rasuah.

