Kuok imbas bagaimana beliau hilang MISC
Taikun, Tan Sri Robert Kuok, dalam memoir terbaru, menceritakan peranan dua perdana menteri dan peristiwa yang memaksanya melepaskan Malaysia International Shipping Corporation (MISC), sebuah entiti yang diterajuinya.
Kuok berkata beliau dua kali mematuhi permintaan Tun Abdul Razak Hussein untuk mengeluarkan saham baru, selepas perdana menteri itu mengadu beliau di bawah tekanan berhubung isu pembabitan Melayu, dan berkata, bahawa itu adalah harga kejayaan.
Menurut memoir itu, Kuok kemudian juga bercanggah dengan seorang pembantu kepada pengganti Razak, Tun Hussein Onn, yang ditempatkan di lembaga pengarah MISC.
Menjelaskan permulaan MISC, Kuok berkata beliau memohon untuk mendapatkan lesen perkapalan selepas mendapat tahu bahawa Kumpulan Blue Funnel, sebuah konglomerat perkapalan utama di UK, merancang untuk bertapak di Malaysia pada tahun 1967.
"Kepentingan saya semata-mata adalah patriotisme - keinginan untuk membantu Malaysia memiliki rangkaian perkapalannya sendiri dan tidak terikat dengan tali kerajaan bekas penjajah Britain melalui Blue Funnel," katanya.
Walau bagaimanapun, Kuok berkata beliau ketika itu tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perkapalan dan telah berusaha untuk bekerjasama dengan Hong Kong menerusi pengerusi International Maritime Carriers Frank WK Tsao.
Kuok berkata kerajaan Malaysia akhirnya memilih perkongsian itu untuk memulakan syarikat perkapalan nasional melalui MISC.
Pada permulaannya, 20 peratus daripada MISC adalah milik Kuok Bersaudara, 15 peratus oleh Tsao, manakala MCA dan persatuan Cina lain memegang 20 hingga 30 peratus.
Kuok berkata pegangan saham MCA adalah berdasarkan pemberian dua kapal Jepun kepada parti itu sebagai pampasan perang dan kapal itu kemudiannya diletakkan di bawah MISC.
MCA telah memperjuangkan dan berjaya mendapat pampasan daripada Jepun atas penderitaan masyarakat Cina semasa pendudukan Jepun.
"Jadi pada awalnya, pegangan Kuok Bersaudara, Tsao dan kumpulan MCA dengan mudah mencapai 50 peratus, kami mempunyai lembaga pengarah yang cukup bersatu padu," kata Kuok.
Walau bagaimanapun, Kuok berkata beliau kemudiannya dipanggil oleh Razak dalam tempoh setahun selepas MISC memulakan operasi pada separuh kedua tahun 1969.
"Razak berkata: 'Saya mahu kamu terbitkan sebanyak 20 peratus saham-saham baru. Saya di bawah tekanan kerana tidak ada peratusan pegangan saham Melayu yang mencukupi.
"Saya berkata, 'Tun, adakah kamu serius dengan permintaan ini?' Dia jawab 'Ya, Robert.' Maka saya memberitahunya bahawa saya akan melakukannya.
"Saya kembali dan dengan sedikit kekerasan, memujuk lembaga pengarah untuk menafikan hak pemegang saham mendapat saham terbitan baru. Razak kemudian memperuntukkan semua saham baru kepada agensi kerajaan," kata Kuok dalam memoirnya.
Bagaimanapun, Kuok berkata beliau dipanggil sekali lagi oleh Razak selepas setahun atau dua tahun.
"Katanya: 'Saya berdepan banyak tekanan pada mesyuarat kabinet, kamu tahu, Robert, harga kejayaan kamu, MISC sedang berjalan lancar, ramai orang iri hati. Tetapi sekarang daripada memberi mereka saham itu, saya putuskan: Terbitkan dua puluh peratus lagi (saham), lima peratus kepada setiap empat bandar pelabuhan di Malaysia.”

