Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib akan menang besar dengan sokongan kaum India'
Diterbitkan:  Nov 27, 2017 11:35 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan telah mendapat sokongan masyarakat India, kata Senator Datuk S Nallakaruppan.

Tamil Malar memetik Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu sebagai berkata bahawa masyarakat India juga berpendapat Najib adalah perdana menteri yang hebat setakat ini.

"(Bekas perdana menteri Dr) Mahathir (Mohamad) keluar ke jalan, memburukkan Najib, sehingga meraka merasa jijik untuk memanggilnya (Mahathir) sebagai 'Tun'.

"Apa yang Mahathir lakukan untuk India ketika dia mentadbir negara? Cuba fikirkan. Mahathir tidak layak untuk mengkritik Najib.

"Bagaimana seorang lelaki yang tidak berbuat apa-apa (untuk masyarakat India) ketika dia berkuasa, berbuat baik kepada masyarakat itu sekarang?

"Bandingkan dengan Najib yang telah memberikan kaum India apa saja yang diminta mereka," kata Nallakaruppan pada majlis makan malam sempena Deepavali di Hutan Melintang, Perak.

Mengakui BN tidak dapat memenangi undi kaum India pada pilihan raya umum lalu, Nallakaruppan berkata masyarakat India telah belajar daripada kesilapan.

"Pilihan raya ini, kaum India telah berikrar untuk mengundi BN, jika anda tanya kepada mereka siapa lebih hebat daripada semua perdana menteri setakat ini, mereka akan beritahu anda bahawa mereka menyokong Najib," katanya.

Nallakaruppan adalah bekas pasangan tenis pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan.

Hubungan kedua-keduanya retak selepas Anwar memberitahu Nallakaruppan tidak akan bertanding bagi merebut jawatan naib presiden PKR. Beliau meninggalkan PKR pada Mei 2007 sebelum menubuhkan sebuah parti baru.

Lihat Komen
ADS