DAP hari ini secara rasmi mengumumkan Peter Dhomas Saili atau lebih dikenali sebagai Peter Saili, 66, sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bingkor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt yang mengisytiharkan keputusan itu berkata, pengumuman tersebut dibuat baru-baru ini oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Pada PRU13, DAP tidak bertanding di Bingkor manakala Pakatan Rakyat diwakili oleh PKR.

Pada pilihan raya tahun 2013 itu, Datuk Jeffrey Gapari Kitingan dari Parti Reformasi Negeri (STAR) menang tipis selepas menewaskan BN dan PKR dengan majoriti 456 undi.

Menguls perletakan Peter sebagai calon, Stephen berkata, keputusan itu akan memberikan kelebihan kepada DAP yang sememangnya giat menjalankan pelbagai program pembangunan infrastruktur dan kebajikan masyarakat.

“DAP telah membuktikan parti bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan tiada siapa yang dipinggirkan,” katanya yang dipetik portal Roketkini.

Peter pula dipetik organ rasmi parti itu sebagai berkata DAP telah membuktikan bahawa ia merupakan sebuah parti yang bekerja untuk rakyat dan bukan parti yang gemar ‘mengangkut orang ramai hadir ke program perjumpaan’.

DAP juga katanya telah bekerja keras membiayai banyak program dan projek pembangunan infrastruktur serta pengukuhan komuniti khususnya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan.

“DAP sudah membuktikan bahawa bukan bukan sekali dua kita bekerja untuk rakyat dan demi rakyat seperti yang telah dimaklumi sebelum ini.

“Tidak seperti sebahagian parti-parti pembangkang tempatan yang hanya membuang duit dengan perbelanjaan mengangkut orang ramai hadir ke program perjumpaan atau siri jelajah,” katanya.

Beliau juga berkata, DAP juga tidak bercakap kosong memperjuangkan hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63) tetapi komited untuk menewaskan kerajaan ‘kleptokrasi’ demi mendaulatkan kembali MA63.

Peter mula bergiat dalam dunia politik bermula dari tahun 1985 hingga 1994 bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian PBS Sook, Pemimpin Kemajuan Rakyat dan Setiausaha Politik kepada salah seorang menteri semasa era pemerintahan PBS.