Petronas buat laporan polis terhadap Malaysiakini
Terjemahan Petronas telah membuat laporan polis terhadap malaysiakini berhubung laporan mengenai dakwaan seorang bekas eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pembelian tanah oleh syarikat minyak negara itu.
Terjemahan Petronas telah membuat laporan polis terhadap malaysiakini berhubung laporan mengenai dakwaan seorang bekas eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pembelian tanah oleh syarikat minyak negara itu.
Khamis lalu, Petronas, yang diwakili oleh seorang kakitangannya, telah membuat laporan polis terhadap malaysiakini berhubung laporan mengenainya yang disiarkan dalam lamanweb berkenaan pada 26 Ogos 2005.
Laporan dalam bahasa Malaysia itu yang bertajuk ' Petronas menyeleweng harga tanah, dakwa bekas eksekutif ' mengandungi dakwaan berlakunya kegiatan salahlaku dan pemalsuan dalam NDRC (Network Development Retail Committee).
NDRC merupakan badan penilai tapak tanah bagi membina stesen minyak Petronas di seluruh negara.
Dalam laporan tersebut, bekas eksekutif Petronas, Abdul Jabbar Mohamad, telah mendakwa, ada orang tertentu dalam NDRC yang membuat penilaian harga yang lebih tinggi daripada yang dicadangkan dalam kertas kerja projek yang yang dikemukakan kepada jawatankuasa tersebut.
Abdul Jabbar, yang telah bertugas selama lebih 20 tahun dengan syarikat minyak negara itu, adalah antara mereka yang bertanggungjawab menyediakan kertas kerja projek untuk penilaian jawatankuasa tersebut.
Beliau yang merupakan bekas Eksekutif Residen PDB Wilayah Utara bagi Petronas Dagang, yang bertanggungjawab untuk menjalankan kajian terhadap tapak tanah yang berpotensi dijadikan stesen Petronas di wilayah utara, sebelum pemecatannya pada tahun 2001.
Abdul Jabbar mendakwa, cadangan-cadangannya (dalam kertas kerja projek) tidak diambilkira, dan pihak syarikat meneruskan pembelian tapak tanah pada kadar harga yang lebih tinggi.
Abdul Jabbar juga mendakwa, sejumlah individu telah bekerjasama untuk menaikkan harga tanah, sesetengahnya sehingga mencecah lebih RM1 juta.
Laporan balas
Dalam satu perkembangan berkaitan, Abdul Jabbar (foto) telah membuat laporan polis terhadap Petronas hari ini.
Beliau membuat laporan tersebut di balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur tempat yang sama di mana Petronas membuat laporan terhadap malaysiakini pada 1 September lalu.
Sebelum ini, Abdul Jabbar telahpun membuat enam laporan polis terhadap Petronas sepanjang tempoh empat tahun lalu di Pulau Pinang, Perak dan Kedah negeri-negeri di mana beliau mendakwa penyelewengan tersebut berlaku.
Menurut pegawai penyiasat, ASP Sydney Clyde Jeremiah, laporan malaysiakini mengenai Petronas itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah mengikut seksyen tersebut, boleh didenda atau dihukum penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan dipanggil hari ini untuk memberi keterangan di balai polis Dang Wangi. Pihak polis akan mengambil keterangan daripada dua lagi editor malaysiakini esok.
Mengenai laporan polis yang dibuat oleh Abdul Jabbar terhadap Petronas itu, malaysiakini dimaklumkan, kes tersebut disiasat oleh jabatan jenayah komersial balai Dang Wangi.
Ketika ditemui di balai polis tersebut pagi ini, Abdul Jabbar berkata, beliau telah membuat laporan tersebut untuk menafikan semua dakwaan yang mungkin dibuat oleh Petronas terhadapnya dalam laporan polis semingu lalu.
Beliau turut menyertakan satu set dokumen setebal kira-kira tiga inci sebagai menyokong dakwaannya itu.
Dalam laporannya itu, Jabbar meminta polis menyiasat beberapa pembelian tanah oleh Petronas di wilayah utara kawasan tugasannya ketika bekerja dengan syarikat tersebut.
Dalam laporan tersebut, beliau juga mendakwa menerima ugutan bunuh dalam mesej yang ditinggalkan di bekas pejabatnya sebelum beliau dipecat oleh syarikat tersebut empat tahun yang lalu.
Surat peguam
Beberapa hari selepas laporan tersebut disiarkan pada 26 Ogos, malaysiakini menerima surat dari peguam Petronas yang menuntut supaya laporan tersebut dikeluarkan daripada lamanweb dan juga menuntut supaya lamanweb itu tidak lagi menyiarkan laporan mengenai dakwaan penyelewengan tersebut.
Syarikat minyak negara itu juga menuntut supaya lamanweb tersebut memohon maaf dan membayar sejumlah pampasan.
Manakala malaysiakini memberitahu Petronas yang ianya tidak bersetuju dengan tuntutan syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, lamanweb tersebut berkata, ia bersedia menyiarkan respon Petronas terhadap isu tersebut dalam laporannya, walaupun sebelum itu, pihak malaysiakini sudah berusaha untuk mendapatkan komennya mengenai perkara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.