Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 19 Feb untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan notis rayuan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berhubung saman fitnah yang pernah dimenangi oleh bekas pemimpin pembangkang itu.

Selain itu, mahkamah juga akan mendengar permohonan Khairy, yang juga adalah ketua Pemuda Umno, untuk menambah lebih banyak dokumen terhadap pernyataan rayuannya.

Tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini.

Ini disahkan kepada Malaysiakini oleh peguam Anwar, J Leela.

Khairy dikatakan mahu menambah dokumen berkaitan dengan artikel oleh bekas senator Tan Sri S Nallakaruppan, dan mengenai Langkah Kajang, menjadi sebagai sebahagian daripada rekod rayuannya. Dokumen berkenaan tidak digunakan semasa perbicaraan kes fitnah lalu.

Dua bulan lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am dan RM60,000 lagi sebagai kos kepada Anwar selepas mendapati kenyataan pemimpin Umno itu pada sebuah ceramah di Lembah Pantai, sebelum pilihan raya umum 2008 adalah memfitnah ketua umum PKR itu.

Walau bagaimanapun, hakim Azizul Azmi Adnan tidak memberikan pampasan bagi ganti rugi teruk kerana menolak wujudnya niat jahat.

Beliau juga tidak memberikan permohonan perintah injunksi bagi melarang Khairy mengulangi kata-kata itu memandangkan ia diucapkan dalam insiden sembilan tahun lalu dan banyak perkara telah berubah.

Pemimpin pembangkang itu sebelum ini mendakwa tuduhan berkenaan adalah rekayasa seteru politiknya tetapi kerajaan dan pihak berkuasa menafikannya.

Anwar memfailkan saman RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Khairy berikutan ucapan beliau pada 19 Februari 2008.

[Baca berita penuh]