Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Pembocoran dokumen saksi prejudis
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 7:35 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas exco yang disiasat pada awal tahun ini di media sosial.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya memandang serius pembocoran dokumen itu dan akan membuat laporan polis supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Kenyataan rakaman saksi SPRM dikelaskan sebagai dokumen rahsia. Walau bagaimanapun, ia disiarkan di sebuah laman web yang tidak dikenali semalam.

“Ingin dinyatakan, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

“Memandangkan kes melibatkan bekas exco negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam berkata, memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah, pembocoran kenyataan sedemikian adalah bersifat prejudis.

Semalam, tuduhan itu ditimbulkan oleh ADUN Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri Johor.

Wong berkata, bahawa sebuah laman web kononnya telah memuat naik kenyataan seorang saksi SPRM yang mengaitkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima suapan sebanyak RM12 juta untuk menukar status lot perumahan bumiputera.

Beliau kemudian menuntut supaya Khaled menjawab pertuduhan itu tetapi sebaliknya, dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan dan diarah keluar dewan.

Pada Mac lalu, exco kerajaan negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi ditahan dan didakwa sebulan kemudian atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama semua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.

Malaysiakini juga telah menghubungi pegawai di pejabat menteri besar Johor dan masih menunggu penjelasannya berhubung dakwaan itu.

Setakat laporan ini ditulis, Khalid setakat ini belum bersuara terhadap kenyataan HARAPAN itu.

Bagaimanapun, satu NGO negeri Persatuan Pemikir Muda Johor menyifatkan tuduhan itu hanya “berdasarkan andaian semata-mata dengan ditambah rencah memuat naik sebuah lampiran pengakuan saksi kes tersebut”.

“Malangnya, ia hanya sehelai kertas yang tidak menyebut dan menyatakan apa-apa pun tentang penglibatan menteri besar Johor!” kata jurucakap persatuan itu Fikri Allaudin.

Lihat Komen
ADS