Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: TNB gerakkan pasukan bertindak kecemasan

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap sedia menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan yang akan bertugas 24 jam sekiranya keadaan banjir semasa musim tengkujuh sekarang bertambah buruk. 

Pengurus Besar Kanan Bahagian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata bilik gerakan di negeri-negeri terlibat banjir juga akan dibuka bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkenaan banjir.

Wan Nazmy berkata jika terdapat pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula elektrik hanya akan dibuat selepas keadaan selamat.

"Pasukan ini akan membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang, pencawang elektrik dinaiki air dan sebagainya dengan kadar segera sebaik sahaja ia selamat digunakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air dan mereka juga diingatkan supaya tidak menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang lembab dan basah.

“Setelah banjir surut, pengguna dinasihatkan supaya mendapat khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air,” katanya.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 untuk tindakan segera.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS