Poster: Dua pelajar UPM dakwa foto diguna tanpa pengetahuan mereka
Terjemahan Dua pemimpin pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa bahawa butiran diri mereka telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak dikenali yang mencetak poster, yang didakwa bertujuan untuk mencemarkan imej dan reputasi mereka sebagai ahli majlis perwakilan pelajar.
Terjemahan Dua pemimpin pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa bahawa butiran diri mereka telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak dikenali yang mencetak poster, yang didakwa bertujuan untuk mencemarkan imej dan reputasi mereka sebagai ahli majlis perwakilan pelajar.
Mereka Tan Kar Hing dan Kong Wee Cheng (foto) telah membuat laporan di balai polis Serdang pada 12 Ogos lalu, supaya siasatan dijalankan terhadap kejadian tersebut, tetapi sehingga ini, belum mendengar sebarang perkembangan dari pihak polis.
Menurut laporan polis tersebut, yang diperolehi malaysiakini, para pegawai jabatan halehwal pelajar telah mengadakan mesyuarat baru-baru ini dengan pelajar keturunan Cina di beberapa kolej kediaman.
Poster yang mengandungi foto Tan dan Kong telah ditunjukkan kepada mereka yang hadir sebahagian besarnya adalah pelajar baru tahun satu tetapi kemudiannya ditarik balik.
Dalam laporan itu lagi, Tan dan Kong mendakwa, mereka berdua dituduh menerbitkan poster-poster tersebut, sedangkan mereka tidak tahu menahu mengenainya.
Laporan yang sama turut dibuat dengan jabatan keselamatan universiti tersebut, tetapi kerana tiada sebarang maklumbalas mengenainya sehingga ini, maka Tan dan Kong mengambil keputusan untuk mendedahkan masalah mereka itu.
Adalah difahamkan, poster tersebut memapar slogan yang bermaksud 'kami tidak takut dengan universiti' dan 'kami tidak takut dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti'.
Difahamkan juga bahawa pihak universiti telah memberitahu para pelajar yang menghadiri mesyuarat tersebut, supaya jangan membabitkan diri dengan Tan dan Kong, dan mengatakan bahawa pergerakan Tan dan Kong sedang diawasi.
"Selain mencemarkan imej kami, saya rasa kejadian tersebut juga bertujuan untuk menghalang para pelajar daripada menyertai aktiviti dan membuat mereka bimbang untuk bersama kami," katanya.
Kerja siapa?
Kong berkata, sebelum kejadian tersebut, sebuah CD yang mengandungi gambar mereka, telah dirampas oleh pihak berkuasa universiti yang membuat pemeriksaan di sebuah majlis 'pelajar'. Bagaimanapun, dia tidak pasti sama ada pihak berkuasa kampus turut terbabit.
"Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dan mengaitkan kedua-kedua kejadian tersebut, tetapi saya berharap pihak universiti dapat memberi penjelasan yang memuaskan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukannya," kata pelajar tahun akhir jurusan bioteknologi itu.
"Sudah bulan laporan dibuat dengan pihak polis dan universiti, tetapi tiada siasatan dibuat. Saya sedang menunggu penjelasan (mengenainya)," tambahnya.
Tan dan Kong dilihat cenderung kepada kumpulan 'anti-establishmen' di UPM. Kong adalah presiden Persatuan Bahasa Cina, yang masih belum diiktiraf oleh pihak universiti walaupun sudah 15 tahun wujud.
Kejadian penerbitan poster tersebut dipercayai ada kaitan dengan pilihanraya kampus yang dijangka diadakan hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Enam daripada 48 kerusi dalam majlis perwakilan pelajar UPM dikuasai kumpulan 'anti-establishment' (atau mahasiswa idealis) manakala yang lainnya dimenangi kumpulan 'pro-establishment' (aspirasi kerajaan).
Ada calon yang memulaukan pilihanraya kampus di UPM tahun lalu pada saat-saat akhir berikutan pelaksanaan sistem pengundian elektronik, yang tidak membolehkan pengesahan undi dilakukan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.