UNHCR kaji punca penghijrahan penduduk Islam ke Msia
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur sedang membuat penilaian awal terhadap 131 penduduk Islam Thailand yang lari ke Malaysia, setelah selesai menemuramah mereka di Pusat Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan, Jumaat lalu.
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur sedang membuat penilaian awal terhadap 131 penduduk Islam Thailand yang lari ke Malaysia, setelah selesai menemuramah mereka di Pusat Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan, Jumaat lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, jurucakap UNHCR bagi pejabatnya di Kuala Lumpur, Ron Redmond berkata, temuramah itu diadakan selama empat hari oleh 11 kakitangan suruhanjaya tersebut bagi mengetahui punca kumpulan itu melarikan diri ke negara ini pada 30 Ogos lalu, di samping menilai keperluan mereka termasuk dari segi perlindungan.
Redmond berkata, maklumat yang dikumpul melalui temuramah itu sedang dinilai, disemak dan dikaji satu proses penting yang mungkin mengambil masa selama 10 hari untuk disiapkan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kini 61 lelaki, 21 wanita dan 49 kanak-kanak berusia lima bulan hingga 17 tahun, sedang ditahan di pusat tersebut.
"Sejajar dengan tradisi kemanusiaannya, Malaysia memberi kerjasama penuh kepada UNHCR, menghormati mandat UNHCR dan mematuhi unang-undang dan standard antarabangsa," kata Redmond.
Bimbang
Sementara itu, Jawatankuasa Tetap Hak Asasi Manusia dan Keadilan Dewan Rakyat Thailand melahirkan kebimbangan tentang dakwaan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia di selatan negara itu.
"Kami bimbang dengan tuduhan itu," kata naib pengerusinya Wirot Kalayasiri kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman beliau semalam.
Beliau berkata tujuan utama kedatangan jawatankuasa itu ke Kelantan ialah untuk menemui 131 warga Islam Thai yang ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah, tetapi hasrat itu tidak tercapai.
Jawatankuasa tujuh anggota itu termasuk anggota Parlimen Demokrat dari Narathiwat, Yala dan Choomporn yang diketuai pengerusinya Suwaroj Palang.
"Kami akan cuba sekali lagi dengan mengemukakan permohonan kepada Kuala Lumpur tidak lama lagi," kata Wirot.
Kesemua 131 warga Islam Thai tersebut memasuki Kelantan pada 30 Ogos dan berlindung di masjid Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang atas sebab keselamatan.
Ditanya tentang pertemuannya dengan jawatankuasa tersebut, Nik Abdul Aziz berkata beliau memberitahu mereka bahawa beliau menyerahkan kepada kerajaan pusat bagi menangani masalah warga Thai terbabit.
Menteri Besar itu berkata beliau menjelaskan kepada rombongan itu bahawa beliau dukacita mengenai pergolakan yang berlaku di selatan Thai, termasuk pelbagai tindakan yang didakwa dikenakan terhadap guru-guru agama.
Menjawab soalan seorang wartawan The Nation, Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu mengenai layanan kerajaan Thailand kepada penduduk di selatan negara itu.
"Saya tidak tahu mengenai layanan itu tetapi bila ada orang lari dari sebuah negara dan masuk ke sebuah negara yang lain, nak baca lagu mana (nak fikir macam mana lagi) selain (wujudnya) tekanan.
"Apabila anak lari dari rumah, takkan orang boleh baca bapa dia baik sebab itu anak dia lari, mana boleh. Sudah tentu keluarga ni tak betul jaga rumah," katanya.
Penjelasan polis
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, SAC 1 Zulkifli Abdullah menjelaskan, kemasukan 19 warga Thailand ke Kelantan yang dikesan dalam operasi cegah jenayah di Gua Musang sepanjang minggu lalu, bukan kerana melarikan diri daripada konflik di wilayah selatan negara itu, tetapi bertujuan mencari pekerjaan di negara ini.
Katanya, kumpulan pendatang tanpa izin itu, termasuk tujuh kanak-kanak, memasuki negara ini akibat kesukaran mendapat pekerjaan di sana.
"Setakat ini, kita tidak dengar cerita mereka yang masuk ke sini disebabkan takut dan ia tidak sama seperti 131 warga Thai yang menyeberangi sempadan akhir Ogos lalu.
"Itu perkara biasa kerana sejak dulu lagi ada yang datang menziarah saudara-mara mereka yang menetap di sini di samping mencari pekerjaan," katanya pada majlis perjumpaan bersama media di pejabatnya semalam.
Zulkifli berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar hari ini bahawa polis menahan enam lelaki dan enam wanita serta tujuh kanak-kanak dalam sekatan jalan raya sepanjang minggu lalu.
Kesemua mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, ditahan ketika pemeriksaan ke atas bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Pada 30 Ogos lalu, 131 penduduk Islam dari Sungai Padi, Narathiwat masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pangkalan Kubor, Tumpat.
Zulkifli berkata, semua ketua polis daerah di Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Gua Musang yang terletak di sepanjang sempadan dengan Thailand diarah meningkatkan pemantauan terhadap kemasukan rakyat negara itu.
"Pemeriksaan ketat termasuk mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas bas ekspres juga sentiasa diadakan.
"Kerjasama dengan pihak Thailand juga sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

