Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membebaskan Mohamad Shahrulnizam Ikmal, 18 tahun, daripada dua tuduhan mengambil ganja dan syabu.

Shahrulnizam merupakan salah seorang daripada enam remaja yang ditahan atas kes membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat September lalu, yang mengorbankan 23 nyawa.

Majistret Umzarul An Nur Umar membuat keputusan itu selepas ujian air kencing Shahrulnizam menunjukkan keputusan negatif.

Pada 16 September lalu, Shahrulnizam didakwa memasukkan ganja ke dalam badan yang dikesan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.35 malam.

Dia didakwa bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000, atau penjara maksimum dua tahun, atau pengawasan polis selama dua tahun. 

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Ram Karpal Singh mewakili Shahrulnizam.

Semalam, dua adik-beradik berusia 16 dan 17 tahun yang terlibat dalam kes kebakaran tahfiz itu dijatuhkan hukuman penjara dua bulan atas kesalahan mengambil ganja.

Seorang remaja berusia 12 tahun yang turut terlibat pula dibebaskan selepas ujian terhadapnya negatif.

Dua daripada tujuh yang ditahan, kedua-duanya berusia 16 tahun, sebelum ini didakwa dengan 23 tuduhan membunuh. Salah seorangnya mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan bagi tuduhan mengambil ganja manakala seorang lagi bebas daripada tuduhan itu.