Penilai pertahan penilaian A$43 juta bagi UniLodge Mara
Juruukur dan penilai bertauliah yang berpangkalan di Malaysia yang diupah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) untuk menilai harga bangunan UniLodge di Australia pada 2012, telah mempertahankan penilaiannya pada harga A$43 juta (kira-kira RM133 juta).
Pengarah eksekutif Raine & Horne International Zaki + Partners, Rosli Atan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau 'yakin' tinjauan yang dijalankan lima tahun lalu itu dibuat mengikut kaedah yang betul.
Rosli mempertahan laporannya yang menyatakan bahawa bangunan 12 tingkat yang mengandungi 281 bilik penginapan pelajar di 746, Swanston Street di Melbourne tengah, bernilai A$43 juta.
"Tidak benar," katanya ketika ditanya mengenai penilaian itu, yang dikatakan telah dinaikkan untuk memberi manfaat kepada beberapa pegawai Mara Inc dan kroninya. "Saya yakin dengan penilaian saya."
"Pada tahun 2012, saya yakin. Pada tarikh penilaian itu (dibuat), saya yakin," katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 28 Ogos 2012, berdasarkan kepada penilaian UniLodge pada A$43 juta oleh Raine & Horne, Mara Inc membayar A$41.8 juta untuk membeli "semua kepentingan" dalam sebuah syarikat BVI bernama Thrushcross Ltd, walaupun syarikat itu tidak mempunyai pemilikan sah di sisi undang-undang ke atas bangunan tersebut pada masa itu.
Laporan penilaian Rosli adalah lampiran kepada perjanjian jual beli Thrushcross. Penjualnya ialah Scarlett Nominees Limited, sebuah syarikat berdaftar BVI.
Penilaian UniLodge menarik perhatian apabila Thrushcross akhirnya membeli bangunan itu lima bulan kemudian hanya pada harga A$23.5 juta - iaitu A19.5 juta lebih rendah daripada penilaian Raine & Horne.
Rosli mengesahkan bahawa beliau diminta oleh Mara Inc untuk membuat penilaian bagi tujuan untuk "pertimbangan kos pembelian" sebelum anak syarikat Mara itu meneruskan menandatangani perjanjian jual beli.
Malaysiakini semalam melaporkan bagaimana Mara mengalami kerugian sehingga RM60 juta melalui pembelian hartanah oleh Mara Inc dalam perjanjian yang melibatkan dua shell company yang berdaftar di British Virgin Islands.
Banyak faktor
Apabila dimaklumkan bahawa dua syarikat yang berpangkalan di Melbourne pada 2016 bernilai harta yang sama pada tahap yang jauh lebih rendah, Rosli berkata, beberapa perkara boleh berlaku dalam tempoh empat tahun berselang itu, yang menyebabkan kejatuhan harga.
"Mungkin terdapat (perubahan) dalam dasar fiskal, atau permintaan dan pembekalan. Pada tahun 2016 mungkin bekalan penginapan pelajar melebihi permintaan, jadi nilai (UniLodge) dikurangkan.
"Pada tahun 2012, bekalan apartmen pelajar sangat rendah dan permintaan tinggi, jadi jika anda ingin membandingkan, ia mestilah pada tahun yang sama atau dalam tempoh satu tahun," katanya.
Ditanya sama ada ianya biasa bagi harga hartanah menurun dalam tempoh beberapa tahun, Rosli menegaskan bahawa nilai yang lebih rendah mungkin disebabkan oleh kemelesetan ekonomi atau kelebihan penawaran hartanah.
Selain itu, katanya, mana-mana syarikat yang mengupah untuk mendapatkan pendapat kedua mengenai laporan penilaian awal akan "selalunya cuba membuatnya kelihatan seolah-olah syarikat pertama telah membuat kesilapan."
Selepas tersebar berita pada 2015 mengenai pembelian meragukan satu lagi hartanah oleh Mara - Dudley House - juga di Melbourne - bahagian hartanah Mara telah mentauliahkan laporan penilaian bebas dan berasingan bagi semua hartanya, termasuk UniLodge.
Pengurus Bahagian pelaburan hartanah Mara Inc, Mohd Daud Kamarudin, telah pada masa itu meminta dua firma yang berpangkalan di Melbourne tampil dengan penilaian dengan tujuan untuk menjual UniLodge, dan menyelesaikan gadai janji ke atas hartanahnya yang lain.
CBRE Valuations Pty Ltd menilai hartanah UniLodge sebanyak A25.5 juta, manakala Charter Keck Cramer meletakkan harga pada A$29.7 juta.
Ia telah dilaporkan secara meluas bahawa harga hartanah di Melbourne telah mencecah rekod tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

