OKT: Jadual pembayaran tiada kena mengena
Orang kena tuduh (OKT) bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas exco Johor, membuat laporan polis berkenaan penularan dokumen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengannya.
Perunding hartanah itu, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, membuat laporan di Balai Polis Sentral, Johor Bahru, lapor Berita Harian.
OKT dalam laporan itu turut memaklumkan sudah membuat semakan dengan peguam dan meneliti, dokumen itu menunjukkan perbezaan nyata dengan kenyataannya kepada SPRM.
"Terdapat beberapa halaman tiada disertakan, malah terdapat satu jadual pembayaran yang dimuatkan yang tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dijalankan ke atas saya.
"Muka depan Penyataan Dalam Pemeriksaan itu berbeza dengan yang dibuat oleh saya.
"Saya dapati pemilik blog dan Facebook itu sengaja cuba menjatuhkan maruah saya," beliau dipetik sebagai berkata.
Amir juga mendakwa dokumen itu tidak berasas dan mendatangkan ketakutan terhadapnya dan keluarga.
Pada 14 Jun lalu, Amir Shariffuddin dan bekas exco Johor Datuk Abd Latif Bandi dan seorang lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 21 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.
Kelmarin sebuah laman blog memuat naik lebih 140 halaman dokumen siasatan SPRM yang turut disertakan jadual transaksi wang berjuta-jura ringgit yang didakwa diberikan kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

