Bekas pemandu Zahida dibenar rayu saman fitnah
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Noor Azman Azemi, bekas pemandu pelakon Zahida Rafique dalam rayuannya terhadap saman fitnah ke atas bekas majikannya.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan Noor Azman menimbulkan persoalan undang-undang mengenai sama ada laporan polis dianggap sebagai keistimewaan mutlak.
Hakim lain adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma'arop dan Datuk Balia Yusof Wahi.
Persoalan dibangkitkan adalah berkenaan individu berkenaan memiliki hak istimewa mutlak jika mengulangi isi pernyataan fitnah dalam laporan polis yang didedahkan termasuk kepada media.
Terdahulu dilaporkan Noor Azman (gambar) menang dalam saman fitnahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila mahkamah memerintahkan Zahida membayar RM150,000 dan menolak tuntutan balas pelakon itu.
Ini selepas Zahida memberitahu akhbar dengan mendakwa Noor Azman mencuri wang sebanyak RM200,000, yang mana bekas pemandu itu menafikannya.
Hakim Hue Siew Kheng memutuskan Zahida bukan sahaja memfitnah Noor Azman tetapi juga telah mereka invois semasa memberikan keterangan di mahkamah.
Siew Kheng berkata Zahida telah menceritakan pelbagai versi mengenai sumber wang berkenaan dan terdapat percanggahan dalam bukti diberikan Zahida dan ahli perniagaan yang juga pemilik Puncak Utsa, Shaheful Ardan Adenan berhubung wang berkenaan.
Siew Kheng juga berkata Zahida mendakwa wang itu adalah komisyen bagi pinjaman RM20,000 yang diberikan kepada ahli perniagaan itu dan mendakwa wang itu sebahagian daripada keuntungan sebanyak RM243,000 yang mana Shaheful memberikan pulangan ke atas pelaburannya.
Namun Siew Kheng berkata ahli perniagaan itu dalam keterangannya mengatakan RM200,000 itu diberikan sebagai wang ihsan.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Lim Yee Lan pada Mei lalu membenarkan rayuan Zahida dan memerintahkan Noor Azman membayar kos sebanyak RM200,000 dan kos RM50,000 atas tuntutan balas aktres tersebut.
Hakim Datuk Hasnah Hashim semasa membacakan keputusannya berkata Mahkamah Rayuan berhak campur tangan dalam kes itu kerana terdapat bukti meyakinkan untuk menunjukkan wang diperolehi Zahida dan kelakuan Noor Azman pada hari kejadian - iaitu 29 Februari 2012 - boleh dipersoalkan.
"Kenyataan dibuat Zahida seperti disiarkan dalam Harian Metro mempunyai keistimewaan terlindung hasil laporan polis beliau," katanya.
Noor Azman diwakili Tan Sri Gopal Sri Ram dan Latheefa Koya manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Zahida.

