Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis: Tertuduh kes bunuh Jong-nam tak lupus bahan bukti

Seorang saksi polis hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa wanita warga Vietnam Doan Thi Huong mempunyai peluang untuk melupuskan baju kemeja-T dan gaun pendek yang dipakainya ketika dia didakwa menyerang Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, pada 13 Februari lalu.

Doan, 28, bukan sahaja tidak mengambil peluang itu malah tidak menunjukkan sebarang rasa khuatir ketika menyerahkan baju kemeja-T yang tertera perkataan 'LOL' dan gaun itu kepada pegawai polis dua hari selepas kejadian serangan itu berlaku.

Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ASP Nasrol Sain Hamzah, 38, bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, mengenai pakaian itu juga didapati tidak disembunyikan di dalam bilik hotel Sky Star, Sepang di mana tertuduh menginap ketika diserbu polis.

Beliau memberi keterangan pada hari ke-22 perbicaraan kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Saksi pendakwaan ke-24 itu turut bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa anak guamnya mempunyai peluang untuk memasukkan pakaian itu ke dalam beg plastik dan membuangnya di mana-mana sahaja.

Hisyam: Kamu tahu atau tidak Doan memakai kemeja-T yang tertera perkataan 'LOL' sehingga jam 5 atau 6 petang 13 Feb lalu iaitu pada hari Kim Chol diserang?

Nasrol: Tidak tahu.

Hisyam: Betul atau tidak ketika menemubual Doan dia ada memberitahu kamu bahawa dia datang ke Malaysia untuk membuat penggambaran video lucu (prank video).

Nasrol : Betul

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tertuduh (Doan) menjalani dua penggambaran video lucu iaitu pada hari kejadian dan dua hari selepas itu di klia2.

Kepada soalan peguam Salim Bashir yang turut mewakili Doan saksi itu berkata beliau tidak pasti sama ada Doan tidak melupuskan apa-apa barang yang sedang dicari polis.

Nasrol bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Doan menyewa bilik 401 di Hotel Sky Star pada 13 Februari hingga 15 Februari lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 22 Jan tahun depan. -Bernama

Lihat Komen
ADS