Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin nafi beri tender pasir pada anak saudara
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 11:42 PM
Dikemaskini: 4:03 PM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menafikan tuduhan bahawa beliau menganugerahkan tender kepada anak saudaranya yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Azmin menjelaskan bahawa semua tender untuk perlombongan pasir di negeri itu dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).

"Pertama dakwaan itu tidak betul. Dasar kerajaan negeri tanah-tanah dimiliki oleh kerajaan negeri, sekiranya ada permohonan untuk aktiviti perlombongan pasir ia akan diuruskan oleh Kumpulan Semester.

"Semua proses tender dijalankan Kumpulan Semester, saya bukan board member (ahli lembaga pengarah) Semester.

"Saya tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan saya yakin pegawai Semester mempunyai integriti tinggi dalam memastikan proses itu berjalan dengan telus dan terbuka,"katanya kepada wartawan ketika ditemui di Bandar Baru Bangi hari ini.

Terdahulu hari ini, SPRM dilapor menahan anak saudara Azmin yang berusia 34 tahun dan tiga yang lain atas tuduhan terlibat dalam perlombongan pasir dan batu di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014.

Suspek yang terdiri daripada dua pengarah syarikat perlombongan pasir, seorang pengurus tapak projek dan seorang pekerja agensi pengiklanan, didakwa merasuah pegawai pihak berkuasa tempatan di Kajang untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang itu.

Sebuah blog mendakwa mereka juga menerima tender daripada menteri besar.

Kesemua lelaki berusia antara 34 tahun dan 67 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 6 Disember.

SPRM juga membekukan wang RM4 juta daripada akuan bank milik salah sebuah syarikat berkenan.

Azmin mengulangi kenyataan di pejabatnya hari ini bahawa terdapat konspirasi politik terhadap kerajaan negeri dalam kes itu.

"Saya tidak mahu membuat tuduhan, tetapi saya merasakan dalam kes ini, saya melihat seolah-olah ada konspirasi politik kerana sebelum beliau ditahan, blogger umno telahpun mengeluarkan maklumat ini lebih awal daripada tindakan SPRM.

"Persoalan saya kenapa ini berlaku. Saya tidak mahu tindakan politik mempengaruhi siasatan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS