Mahkamah benarkan permohonan peguam tentukan status Kamariah Ali
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan peguambela seorang bekas ustazah yang dituduh murtad, agar satu siasatan dijalankan bagi menentukan status wanita itu sama ada beragama Islam atau sebaliknya.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan peguambela seorang bekas ustazah yang dituduh murtad, agar satu siasatan dijalankan bagi menentukan status wanita itu sama ada beragama Islam atau sebaliknya.
Hakim Muhammad Abdullah berkata, siasatan terhadap status Kamariah Ali, 54 (foto), perlu kerana perbicaraan di mahkamah itu tidak boleh dijalankan terhadap seseorang tertuduh yang bukan beragama Islam.
"Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh bukan Islam," katanya sebelum menetapkan 5 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pendakwa mengemukakan bukti-bukti yang sepatutnya agar kes itu dapat dibicarakan.
Kamariah, yang merupakan pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut laporan Bernama, wanita itu, yang berasal dari Kelantan, dituduh mengeluarkan kenyataan bahawa dia keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari 21 Julai lepas semasa di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.
Status anak guam
Terdahulu, peguam Wan Mohamed Haidi Wan Jusoh daripada Tetuan Ubaidillah Aziz di sini yang mewakili Kamariah, membuat usul agar satu siasatan dijalankan bagi menentukan status anak guamnya itu.
Katanya, ini kerana Kamariah secara konsisten telah cuba mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam sejak 1998.
Wan Mohamed Haidi berkata, rekod itu berpandukan kepada nota prosiding yang dibekalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, Kelantan, bahawa Kamariah pernah cuba untuk keluar daripada Islam.
Pegawai pendakwa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Mokhtar Salleh berkata disebabkan usul itu dibuat secara mengejut, beliau memohon masa agar siasatan terperinci dapat dijalankan bagi menentukan status agama Kamariah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.