Sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, mimbar menggesa umat Islam di Malaysia agar mengutamakan kesatuan ummah yang amat penting untuk kesejahteraan negara.

Mimbar berkata, para Rasul sendiri diutuskan untuk menghapuskan perpecahan dan mewujudkan kesatuan di kalangan manusia.

"Dalam konteks Malaysia hari ini, bersatu boleh dilihat melalui sifat ketaatan kepada pemerintah dan melalui kesepaduan dalam mematuhi pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah," kata teks khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk "Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara".

Ia juga menjadi tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

Mimbar berkata lagi, kesatuan tersebut boleh dipupuk dengan memperkukuh identiti ummah berdasarkan akhlak Nabi Muhammad sebagai panduan.

"Umat Islam perlu mencerminkan identiti Islam yang sebenar dengan mengenali dan menjiwai personaliti Nabi Muhammad.

"Kesatuan ummah dan kesejahteraan negara (dapat) memagar ummah daripada ancaman pihak pelampau," kata mimbar lagi.

Jangan berpecah soal remeh

Mimbar berkata lagi, kesatuan ummah adalah aspek utama untuk membina negara yang berdaulat.

"Namun, kadangkala ketenteraman negara tercabar oleh pelbagai perkara ketidaksepaduan dari kalangan ilmuwan, agamawan, ahli politik dan seumpamanya.

"Walhal, perselisihan tersebut hanyalah soal furu‘ (cabang) yang kecil tetapi memberi impak yang sangat besar terhadap kesatuan ummah dan kesejahteraan negara."

Justeru, mimbar menggesa agar umat Islam agar menyahut usaha kerajaan dalam mewujudkan kesatuan dalam negara ini, agar Malaysia terus menjadi negara Islam contoh di peringkat antarabangsa.